Tabiat Trump Koyak Dokumen Sukarkan Penyimpan Rekod

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mempunyai tabiat buruk mengoyak dokumen yang selesai digunakannya, memaksa penyimpan rekod Rumah Putih menampal semula kepingan itu, lapor laman berita Politico.

“Ia perkara paling gila. Beliau mengoyakkan dokumen hingga menjadi kepingan kecil,” kata bekas kakitangan pengurusan rekod Rumah Putih, Solomon Lartey.

Akta Rekod Presiden mensyaratkan, sebarang dokumen yang disentuh pemimpin itu sama ada memo, surat atau emel perlu disimpan dan dihantar ke Arkib Negara sebagai sebahagian rekod sejarah.

Namun tabiat Trump mengoyak dokumen selepas menggunakannya, kadang kala menjadi dua, namun pada masa lain seolah-olah seperti cebisan konfeti, mencetuskan masalah besar buat penyimpan rekod pada bulan pertama dilantik presiden.

Lartey berkata, keseluruhan Jabatan Pengurusan Rekod Rumah Putih ditugaskan melekatkan semula dokumen itu menggunakan pita Scotch.

Menurut Politico, kakitangan Rumah Putih mengutip dokumen koyak itu dari pejabat Oval dan kediaman Trump sebelum menyerahkannya kepada pengurusan rekod untuk disambungkan seperti permainan ‘suai padan.’

“Anda menemui kepingan dan melekatkannya semula sebelum memberinya kepada penyelia,” kata Lartey.

Beliau berkata, dokumen yang diuruskannya termasuk keratan akhbar bersama nota Trump di atasnya, jemputan dan surat daripada kawasan pengundi atau pembuat dasar.

“Saya ada sepucuk surat daripada Schumer, beliau mengoyakkannya,” katanya merujuk kepada Pemimpin Minoriti Senat, Charles Schumer.

Seorang lagi bekas kakitangan pengurusan rekod Rumah Putih, Reginald Young berkata, ia adalah kali pertama sejak dua dekad berkhidmat dalam kerajaan, beliau diminta melakukan tugas itu.

“Saya memandang pengarah saya dan berkata, ‘Adakah anda serius?’ Kami memperoleh lebih AS$60,000 (RM239,053.35) setahun, kita perlu melakukan tugas jauh lebih penting daripada ini.

“Ia seperti tugas paling bawah anda lakukan tanpa perlu mengosongkan tong sampah,” katanya.

Kedua-dua Young, 48, dan Lartey, 54, dipecat serta merta awal tahun ini tanpa penjelasan. -AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.