Tahan gatal, badan melecet gara-gara kostum silikon

KUALA LUMPUR: Pelakon Puteri Aishah Sulaiman, 23, berdepan cabaran yang menguji ketahanan diri sepanjang penggambaran drama Terima Aku Seadanya apabila perlu mengenakan kostum silikon untuk tampil gemuk.

Kata Aishah, setiap hari dia terpaksa menahan gatal, selain badan melecet dan kurang selesa, namun drama itu memberinya pengalaman baharu sebagai pelakon.

“Lebih 80 peratus babak menampilkan saya sebagai wanita dengan berat badan melebihi 90 kilogram. Karakter itu pada asalnya mempunyai berat badan ideal, tetapi fizikalnya mula berubah selepas ditinggalkan kekasih.

“Bukan sekadar menyarung kostum silikon, dalam satu babak, saya perlu menyarung baju tebal yang sering dipakai pada musim sejuk supaya badan kelihatan lebih besar.

“Ia cukup mencabar, malah untuk solekan, saya perlukan sekurang-kurangnya tiga jam. Bayangkan setiap hari saya terpaksa melalui semua cabaran itu sepanjang 12 jam penggambaran,” katanya.

Pelakon filem Pulang itu berkata, biarpun penggambaran hanya bermula jam 11 pagi, kebiasaannya dia akan meninggalkan rumah selepas bersahur bagi mengelakkan diri terperangkap dalam kesesakan jalan raya.

“Saya tidak kisah menunggu dalam kereta. Dapat juga saya melepaskan lelah dan membuat persediaan sebelum mula bersolek pada jam 7 pagi. Penat, namun saya puas kerana drama ini banyak menguji kemampuan saya,” katanya.

Aishah berkata, penggambaran drama yang menemukannya dengan Nazim Othman hanya akan selesai sehari sebelum sambutan 1 Syawal. Drama bersiri 20 episod itu bakal disiarkan di ntv7.

“Selain penggambaran drama ini, saya juga terbabit dalam promosi Pulang selain menjayakan kempen Terima Kasih Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad (MPTN) sepanjang Ramadan ini,” katanya.

Bakal meraikan lebaran di kediaman neneknya di Negeri Sembilan, Aishah berkata, antara momen paling dinanti adalah berkumpul bersama keluarga untuk membakar lemang yang menjadi tradisi mereka setiap kali menyambut Aidilfitri.- BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.