‘Ada agenda terancang halau Dr Zakir’

SERANGAN berterusan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), individu dan kepemimpinan parti ke atas pendakwah bebas, Dr Zakir Naik sehingga tahap ‘menekan’ dan mendesak kerajaan supaya menghantarnya pulang ke India, seharusnya dihentikan.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sudah menegaskan kerajaan tidak tunduk kepada desakan berhubung isu Dr Zakir kerana perlu menimbangkan pelbagai faktor, termasuk dari segi perundangan, selain mahu mengelakkan ada pihak menjadi manggsa.

Agak keterlaluan apabila Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, P Ramasamy mengaitkan hubungan Malaysia dengan India akan terjejas jika Dr Zakir tidak dihantar pulang, selain desakan daripada MIC yang mahu Kerajaan Pakatan Harapan (PH) menyerahkan individu itu kepada Kerajaan India, kononnya ada pengundi memilih PH kerana faktor Dr Zakir.

Sehingga hari ini, pelbagai tuduhan ke atas Dr Zakir, termasuk didakwa terbabit dengan serangan pengganas di Dhaka dan pengubahan wang haram sehingga ‘terpaksa’ meninggalkan India pada 2016 tidak dapat dibuktikan.

Di Malaysia, seperti ada agenda terancang oleh pihak tertentu ketika ini bagi memastikan Dr Zakir dikenakan tindakan oleh kerajaan, termasuk menghalaunya keluar dari Malaysia.

Resmi ayam jantan

Sejak PH mengambil pentadbiran negara daripada Kerajaan Barisan Nasional (BN) serta menawarkan pelbagai peluang keterbukaan dalam menghormati hak individu dan kaum, selain mempromosi kebebasan bersuara adalah wajar hak dan kebebasan Dr Zakir juga dihormati. Rakyat Malaysia juga tidak seharusnya mengikut resmi ayam jantan yang riuh berkokok sekampung, sedangkan ekor bergelumang tahi!

Pasti umat Islam di Malaysia lega dengan keputusan kerajaan. Malah, Dr Zakir sendiri bertemu Perdana Menteri dan mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Malaysia kerana membenarkan beliau terus berada di negara ini, di sebalik tekanan dan ancaman beberapa pihak.

“Saya mengakui sensitiviti yang diperlukan (untuk berada di Malaysia). Saya tidak pernah berhasrat mengganggu atau mengancam keseimbangan ini walau dengan apa cara, atau melanggar undang-undang negara ini,” kata beliau melalui satu kenyataan selepas pertemuan itu.

Berilah ruang untuk Dr Zakir memahami sensitiviti kepelbagaian agama yang ada di Malaysia. Pada masa sama, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun menegaskan polis akan terus memantau Dr Zakir bagi memastikan tindakan dan kegiatannya tidak akan menjejaskan ketenteraman dan keselamatan negara.

Dalam pada itu, hormati pengakuan Dr Zakir yang menafikan ada membuat sesuatu yang ‘mencetuskan keganasan dan kebencian’ sepanjang 25 tahun sebagai pendakwah.

Perselisihan pandangan dalam urusan beragama tidak dapat dielakkan, seperti dalam Katolik-Protestan, mahupun Sunah-Syiah, apatah lagi berbeza agama dalam mengesakan satu Tuhan dan Allah.

Dalam kes Dr Zakir, kita tidak boleh menafikan pelbagai tuduhan itu ada yang dicetuskan oleh golongan yang mahu menjejaskan imej beliau sebagai pakar perbandingan agama, selain serangan itu biasanya dalam bentuk keratan rakaman dan imej serta kata-kata yang diambil di luar konteks.

Bertegas ambil tindakan

Bagi meredakan isu ini, sewajarnya kerajaan bertegas dengan mengambil tindakan ke atas mana-mana individu yang menggunakan platform media sosial, termasuk YouTube dengan mengada-adakan tuduhan sehingga ke tahap menggalakkan kebencian dalam kalangan penganut pelbagai agama di Malaysia.

Tidak wajar untuk mana-mana pihak mengaitkan era Malaysia Baharu dengan Dr Zakir dalam menghalalkan tuntutan keterlaluan mereka, apatah lagi ketika kerajaan dalam proses melaksanakan pelbagai janji politik atau manifesto ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 yang baharu selesai.

Walau apapun alasan yang diberikan kerajaan, hakikatnya ketika ini timbul kegusaran sedikit dalam kalangan rakyat yang melihat Kerajaan PH seperti tidak lagi melindungi agama Islam dan Melayu, sebaliknya ke arah sekularisme yang membimbangkan.

Tidak mungkin 100 individu yang mewakili pelbagai parti politik dan NGO Melayu-Islam membuat mesyuarat tergempar untuk mempertahankan kedaulatan Islam di Wangsa Maju, Kuala Lumpur, baru-baru ini, sekali gus menubuhkan Sekretariat Muslim selepas melihat perkembangan terkini membabitkan ucapan, tindakan, perbuatan dan perkataan yang memperlekehkan ajaran Islam, termasuk daripada mereka yang bernama Melayu dan mengaku beragama Islam.-BH.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.