Menurut Adam, anak lelakinya yang dilahirkan seberat 2.4 kilogram berada dalam keadaan sihat dan berada di sisi isterinya.

“Isteri saya selamat melahirkan anak kami menerusi kaedah pembedahan.

“Tiada kata yang dapat saya ungkapkan selain rasa syukur kerana diberi peluang menikmati pengalaman ini. Malah, saya juga berada bersama isteri sepanjang proses kelahiran anak kami,” katanya.

Mengakui masih belum dapat menyesuaikan diri dengan fasa baharu kehidupan sebagai seorang bapa, Adam ketika ini sibuk menjaga isteri dan anaknya itu.

“Buat masa ini, saya masih tidak tahu peranan yang perlu dilakukan sebab kami berdua masih cuba menyesuaikan diri dengan kehadiran orang baharu.

“Bagaimanapun, saya akan menjaga isteri sepanjang tempoh pantang, namun kalau terikat dengan penggambaran saya juga akan mencari orang untuk menjaganya,” katanya lagi.

Masih belum mempunyai nama yang sesuai, kata Adam, ketika ini dia hanya menggelarkan anaknya itu sebagai Baby Lee.

“Insya-Allah, nama anak dan wajah akan saya kongsikan seminggu lagi apabila sudah dapat nama yang sesuai.

“Apapun, saya mahu berterima kasih kepada peminat yang tidak sudah-sudah mendoakan kami sekeluarga,“ kongsinya lagi. – UTUSAN ONLINE