Polis cari saksi kemalangan maut

POLIS meminta saksi yang melihat kemalangan membabitkan sebuah PROTON Satria dengan sebuah lori di KM39.7 Lebuhraya KESAS.

SUBANG JAYA: Saksi kemalangan maut membabitkan sebuah PROTON Satria dengan sebuah lori di Kilometer 39.7 Lebuhraya Shah Alam (KESAS) arah dari arah Shah Alam berhampiran Plaza Tol Sunway di sini, tengah malam tadi diminta tampil membantu siasatan.

Dalam kemalangan kira-kira jam 12.19 tengah malam itu, pemandu kereta, S Lechumanan, 42, berasal dari Kelana Jaya, dekat sini disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di beberapa bahagian tubuh badannya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari’at, berkata siasatan awal mendapati kereta dipandu Lechumanan tiba-tiba berhenti di lorong kedua daripada kanan di lebuh raya lima lorong itu.

“Mangsa dikatakan memberhentikan kenderaannya secara mengejut menyebabkan sebuah lori yang sedang mengekorinya dari belakang dengan jarak kira-kira lapan meter tidak sempat membrek terus merempuh belakang kereta mangsa.

“Akibat rempuhan itu, bahagian belakang kereta jenis PROTON Satria dipandu mangsa remuk sebelum berpusing beberapa kali ke lorong paling kiri, kira-kira 50 meter daripada tempat kemalangan,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Menurutnya, polis terpaksa meminta bantuan pasukan bomba untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu sebelum disahkan meninggal dunia.

“Bagaimanapun, pemandu lori berusia 47 tahun dan berasal dari Klang, terselamat tanpa sebarang kecederaan

“Mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk proses bedah siasat sebelum dituntut oleh keluarganya untuk urusan pengebumian,” katanya.

Katanya, polis meminta kerjasama saksi yang melihat kejadian itu untuk tampil membantu siasatan bagi mengetahui punca sebenar kemalangan.

“Saksi boleh berhubung dengan pegawai penyiasat, Inspektor Mohamad Hamdan Jeramatin di talian 019-4642222 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya di talian 03-78627222.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya lagi.-BH.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.