‘Saya tak berdendam’

SHAH ALAM: Bintang terkenal, Ziana Zain lega kes tuntutan cerai yang berlarutan kira-kira tiga bulan, berakhir dengan baik.

Ziana yang sah bercerai talak satu, memberitahu BH Online, tiada dendam yang terbuku dalam hatinya.

Malah, beliau sudah lama memaafkan bekas suami, Armin Zahrin Ahmad Zambri, 53, atas apa yang berlaku sepanjang perkahwinan mereka.

“Saya tidak pandai simpan dendam… Saya bukan orang jenis begitu.

“Saya bersyukur semuanya selesai dengan tenang dan aman hari ini,” katanya ditemui di Mahkamah Rendah Syariah, di sini.

Pada prosiding itu, Ziana, 50, disahkan bercerai talak satu pada jam 2.48 petang.

Dalam linangan air mata, penyanyi Kemelut Di Muara Kasih itu berharap segala urusan seterusnya dipermudahkan bagi pihak dirinya dan Armin.

“Syukur kepada Allah berkat kesabaran saya semuanya selesai dengan baik dan tenang.

“Sukar untuk saya tafsirkan air mata ini… Apa-apa pun, sama-sama doakan yang terbaik untuk hari mendatang,” katanya.

Sementara itu, adik Ziana, Anuar turut bersyukur kes perceraian kakaknya berakhir dalam suasana baik dan harmoni.

“Bagi pihak keluarga, saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang berdoa,” katanya.

Mendirikan rumah tangga pada Mei 1998, Armin dan Ziana dikurniakan empat cahaya mata iaitu Muhammad Aiman, 19, Muhammad Ammar, 14, serta pasangan kembar, Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh, 9.

Pada 3 April lalu, Ziana memfailkan perceraian di Mahkamah Syariah Shah Alam di sini, selepas Armin dikatakan enggan melepaskannya secara baik. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.