Tuntut iktiraf UEC bagai barah tahap 4

SIKAP berlembut dan terlalu bertolak ansur agensi kerajaan menyebabkan pihak tertentu terus membangkitkan tuntutan supaya Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) diiktiraf, terutama untuk kemasukan ke universiti awam (UA) dan ke sektor awam.

Tuntutan pihak berkenaan berterusan sehingga memberikan tekanan kepada kerajaan yang disifatkan umpama barah tahap empat yang gagal dicegah dan semakin parah ketika ini.

Pada 13 Februari 2016, Ketua Menteri Sarawak ketika itu, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem dilaporkan berkata kerajaan negeri tetap mengiktiraf UEC bagi mengelak golongan profesional kalangan masyarakat Cina berhijrah ke negara lain.

Kerajaan Sarawak bertegas walaupun Kerajaan Persekutuan belum memuktamadkan keputusan mengiktiraf peperiksaan itu, namun kerajaan negeri akan memberi pengiktirafan terlebih dahulu.

Pada Disember 2016, Timbalan Menteri Pendidikan II ketika itu, Senator Chong Sin Woon mendedahkan semua isu teknikal berhubung pengiktirafan sijil UEC sudah diselesaikan dan menunggu keputusan Kabinet untuk diiktiraf.

Pada 4 Februari 2017, Sin Woon sekali lagi dilaporkan berkata, batu penghalang terbesar dalam perbincangan antara Persatuan Pengelola-Pengelola Sekolah Cina (Dong Zong), dan kementerian sebelum ini ialah penggunaan mata pelajaran Bahasa Melayu (BM) selaras Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Beliau terus memperjuangkan sijil berkenaan walaupun dimaklumkan Kementerian Pendidikan bahawa status UEC bercanggah kehendak Dasar Pendidikan mengikut Akta Pendidikan 1996 (Akta 550).

Pada 2 Julai lalu pula, Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari mengumumkan pengambilan lulusan UEC akan dilaksanakan sebagai antara syarat perjawatan peringkat negeri kerana ia adalah sebahagian daripada manifesto Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ini menyebabkan ada pihak menganjurkan perhimpunan aman selama kira-kira 30 minit disertai beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Melaka yang mendesak kerajaan negeri segera membatalkan pengiktirafan sijil peperiksaan itu berikutan bertentangan dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Tidak perlu layan

Pada 8 Julai lalu, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching Nie Ching dipetik dalam sebuah portal berita sebagai berkata, beliau mahu pengiktirafan UEC yang menjadi sebahagian daripada janji PH dalam manifesto PRU-14, diselesaikan sebelum hujung tahun ini sambil, menyatakan UEC tidak perlu dibawa ke Parlimen untuk dibahaskan.

Bagaimanapun, isu itu mendapat pandangan berbeza daripada Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik yang mahu pendekatan menyeluruh supaya pelaksanaannya kelak tidak menjejaskan perpaduan kaum dan menggadaikan usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Felo Utama Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, tuntutan berkenaan sepatutnya tidak dilayan sejak dulu, bagi menamatkannya lebih awal.

Katanya, kini ia menjadi barah kerana gagal dirawat sejak awal dan seolah-olah segala masalah ditimbulkan kerajaan sekarang, sedangkan ia bermula sejak kerajaan terdahulu.

Beliau berkata, sepatutnya menteri atau timbalan menteri terdahulu menjawab isu itu secara tegas “kita tidak layan tuntutan”, bukan ayat penyedap ‘kaji’, ‘bincang’ dan lebih teruk ‘pertimbangkan’.

“Pengiktirafan UEC hanya akan menguntungkan segelintir kaum Cina di negara ini, dan bukannya untuk kepentingan kaum itu secara keseluruhan.

“Sekiranya sijil itu diiktiraf terutama untuk kemasukan ke UA dan kemasukan ke sektor awam, sudah tentu ia akan menjejaskan peluang pelajar Cina mengikuti persekolahan dalam aliran kebangsaan.

“Ramai yang tidak menyedari bahawa mengiktiraf UEC menyebabkan peluang anak Cina daripada aliran kebangsaan untuk mendapat tempat di UA dan sektor awam akan terjejas kerana mereka terpaksa bersaing dengan pelajar UEC,” katanya.

Kok Seong berkata, UEC diasaskan berdasarkan sistem pendidikan di Taiwan yang dengan sendirinya memberi kesan kepada mata pelajaran Bahasa Melayu dan dilihat sebagai bertentangan Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Katanya, apa juga jenis persekolahan yang tidak berada dalam sistem pendidikan negara perlu dianggap sebagai tidak selari dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang antaranya mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama.

Di luar sistem pendidikan negara

Beliau berkata, dalam konteks ini UEC yang dikendalikan dalam bahasa lain dan tidak mengikuti sukatan Kementerian Pendidikan, jelas sekali berada di luar sistem pendidikan negara.

“Sebenarnya semua sekolah menengah atau sekolah tinggi persendirian Cina di negara ini sudah diberi peluang untuk menyertai sistem pendidikan kebangsaan, sewaktu kita mencapai kemerdekaan.

“Dalam hal ini, ada yang menyertainya dan ada yang tidak menyertainya dengan menjadi sekolah persendirian Cina yang dilihat tegas menawarkan UEC untuk kemasukan ke UA dan sektor awam,” katanya.-BH.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.