Dramatis Nor Amisah Abdullah meninggal dunia

PETALING JAYA: Dramatis Nor Amisah Abdullah meninggal dunia pada pagi Ahad pada usia 52 tahun.

Pelakon yang juga rakan baik Allahyarham, Numan Salleh ketika dihubungi memberitahu Nor Amisah meninggal dunia pada pagi Ahad di rumahnya di Jalan Ipoh.

Kata Numan lagi, Nor Amisah yang lebih mesra dengan sapaan Kak Nurin meninggal dunia disebabkan penyakit asma yang dihadapinya.

“Ada yang kata ibu kepada Nurin yang meninggal tetapi tidak… Memang dia yang meninggal dunia dan saya boleh sahkan perkara itu.

“Salah faham berlaku disebabkan anaknya yang menjawab mesej telefon arwah dan timbul salah faham,” katanya.

Sementara itu, Numan berkata, jenazah Allahyarham kini berada di Surau Al-Islah Taman Batu Permai, Jalan Ipoh untuk solat jenazah.

Allahyarham dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Bangko, Jalan Kuching selepas solat Asar, Ahad.

Nor Amisah memulakan karier sebagai pelakon tambahan dan sejak itu dia banyak membintangi drama dan filem tempatan.

Drama rantaian lakonannya, Cinta Tiada Ganti kini sedang ditayangkan di Astro Prima.

Dalam perkembangan sama, Persatuan Seniman Malaysia memaklumkan Allahyarham meninggal dunia pada pukul 9.30 pagi tadi.

Menurut anaknya, Allahyarham tidak sedarkan diri awal pagi ini sebelum pihak perubatan yang tiba mengesahkan arwah telah meninggal dunia.

Allahyarham meninggalkan suami, Alias Ariffin dan lima anak iaitu Muhd Noor Arif, 32, Muhd Razali, 30, Muhd Affendi, 28, Nur Amira, 25 dan Nuraleeya Maisara, 15.-MS.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.