Anwar Perlu Majoriti Besar, Pemilihan Tanding Di Kerusi Majoriti Bukan Melayu Adalah Tepat – Annuar

KUALA LUMPUR: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu menang dengan majoriti besar dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson kerana kerusi itu penentu pelantikannya sebagai Perdana Menteri kelapan.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa, berkata jika bekas Timbalan Perdana Menteri itu menang dengan majoriti kecil ia tamparan kepadanya untuk menyandang jawatan termeterai dalam perjanjian peralihan kuasa dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“PKR dilihat bermain selamat dalam memilih kerusi yang sesuai ditandingi bakal Presiden PKR itu kerana jika silap percaturan ia boleh menjejaskan peluangnya untuk menjadi Perdana Menteri,” katanya kepada NSTP di Menara Dato‘ Onn, di sini, hari ini.

Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah hari ini mengumumkan mengosongkan kerusi yang disandangnya untuk ditandingi Anwar dalam usaha Pakatan Harapan (PH) mengangkatnya sebagai Perdana Menteri kelapan.

Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, berdasarkan keputusan tiga Pilihan Raya Kecil (PRK) iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, DUN Balakong dan DUN Seri Setia menunjukkan majoriti PH adalah daripada bukan Melayu kerana orang Melayu memilih untuk mengundi pembangkang.

Katanya, pada dasar ini bermakna Anwar tidak boleh bertanding di negeri utara Semenanjung kerana kebanyakan kerusi itu lebih 50 peratus di dominasi pengundi Melayu, kecuali Pulau Pinang.

Beliau berkata, Anwar terpaksa mengambil kira perkara ini kerana gabungan pemerintah sekarang sangat disokong kalangan bukan Melayu.

“Bagi kami, UMNO mempunyai banyak pilihan. Kami boleh memilih untuk bertanding atau menyokong parti pembangkang lain sama ada kalangan parti komponen Barisan Nasional (BN) atau bukan,” katanya.-BH.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.