Silaturahim formula kejayaan

Syafil Syazwan Jefri

Dalam tempoh 20 tahun mengbadikan diri dalam industri muzik, kumpulan Ruffedge berjaya meletakkan nama mereka dalam kalangan artis popular.

Walaupun pernah ‘berehat’, mereka kembali bersatu kerana ukhuwah yang erat dan semangat untuk terus berkongsi seni.

Dianggotai Cat Farish, Zain Hamid, Azan Addin, Mode, Amer Munawer dan Sein, kehadiran semula mereka dalam industri muzik bukanlah untuk bangga diri, sebaliknya mencetuskan semangat baru kepada penyanyi yang ingin membuat kemunculan semula.

“Kami ingin membawa semangat yang kami ada dan berharap mereka yang melihat kemunculan semula ini nampak semangat itu,” kata Sein memulakan perbualan.

Azan pula mahu Ruffedge menyebarkan aura positif kepada mereka yang mahu terus berkarya.

“Apa yang saya inginkan, biarlah kehadiran semula Ruffedge ini menjadi satu perkara positif buat semua orang terutama mereka yang ingin kembali aktif sebagai anak seni,” katanya.

Dalam pada itu, Cat yang juga aktif sebagai pelakon menceritakan ada beberapa artis yang datang merujuk kepada mereka dan bertanya, apakah rahsia silaturahim Ruffedge sehingga ke hari ini?

“Paling penting jangan pernah rasa ada nak bergaduh ketika melakukan kerja secara berkumpulan. Itu yang kami sentiasa pegang sejak awal sehinggalah sekarang. Alhamdulillah kami terus bersatu,” katanya.

Bagi Amer, Ruffedge kini sudah matang dan itu membuatkan ukhuwah yang terjalin antara mereka bertambah erat.

“Allah sudah tetapkan segala-galanya. Kini, kami semua sudah matang dan berkeluarga. Allah masih kekalkan silaturahim ini dan itu formula paling utama.

“Apa yang saya nampak, ini adalah kejayaan dan kejayaan itu pun sebenarnya satu ujian untuk kita sebagai manusia,” katanya.

RUFFEDGE.

Bakal gegar Kota Singa

Selepas kejayaan konsert Ruffedge 20th Anniversary di KL Live, Kuala Lumpur pada 4 Ogos lalu, kini Ruffedge bersedia menemui peminat mereka di Singapura.

Ruffedge akan mengadakan konsert mereka Zepp@Big Box, Singapura, 6 Oktober depan.

Bagi memberikan penampilan segar, mereka akan membawakan satu persembahan berbeza, namun tidak lari jauh daripada apa yang dipersembahkan di Kuala Lumpur.

“Kami akan bawakan lagu yang kami nyanyikan tempoh hari. Namun, akan ada sedikit kelainan dan kejutan.

“Minggu ini, kami akan ke Singapura untuk mempromosikan konsert ini. Alhamdulillah, banyak reaksi peminat Singapura yang kami terima di media sosial,” kata Zain.

Kini mereka sedang melakukan persiapan untuk mempersiapkan vokal bagi menghiburkan penonton di negara itu.

Selain itu, Ruffedge juga teruja melihat peminat generasi baru yang memberikan sokongan kepada mereka.

“Kebanyakan peminat yang bersama kami sejak awal kemunculan sudah dewasa dan berkeluarga. Mereka masih menyokong kami hingga sekarang.

“Apa yang menarik, kami juga mendapat reaksi daripada peminat dalam kalangan generasi muda. Walaupun ada masih kecil ketika kami baru muncul, sekarang mereka mencari dan mendengar lagu kami,” katanya.

Berbicara mengenai generasi muda, Ruffedge juga ingin membawa nama mereka ke satu tahap lagi dengan menyumbang ilmu kepada industri muzik khususnya.

Azan berkata, mereka mahu sumbangkan sesuatu kepada industri muzik dari segi pendidikan.

“Kami ada berbincang dengan beberapa pihak antaranya artis senior. Menurut mereka, tidak ramai artis muda yang bertanya mengenai ilmu selok-belok industri muzik kepada mereka,” katanya.

Menurutnya, mereka ingin menjadikan Ruffedge sebagai platform untuk mendekatkan jurang antara artis baru dan lama.

“Apa yang saya lihat sekarang, jurang antara artis baru dan lama terlalu besar. Jadi, kami nak cuba didik pemain industri dan dekatkan jurang itu,” katanya.

Apa yang pasti, nama Ruffedge akan terus menjadi sebutan peminat yang dahagakan karya terbaru mereka.

Terbaru, Ruffedge hadir dengan single terbaru mereka, Seperti Mereka yang dilancarkan Ogos lalu.-HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.