Bukan mudah buat Selangor di Ipoh

SHAH ALAM – Jika komunikasi antara penjaga gol G. Jeevanathan dan rakan sepasukan dapat diperbaiki ketika menangani percubaan yang menghasilkan gol tunggal Perak kelmarin, Selangor sepatutnya lebih selesa untuk ke separuh akhir Piala Malaysia.

Ditambah dengan penyingkiran pemain tengah, Bunyamin Umar oleh pengadil Samsuddin Ibrahim kerana beroleh kad kuning kedua, Gergasi Merah seperti sengaja menempah laluan berliku apabila bertandang ke Stadium Perak, Ipoh bagi mengharungi suku akhir kedua, Jumaat ini.

Kelebihan dua gol atas kemenangan 3-1 di Stadium Shah Alam dengan jaringan Safiq Rahim (dua) dan Amirulhadi Zainal, masih menggusarkan jurulatih tuan rumah, P. Maniam, sehingga menagih komitmen dua kali ganda anak buahnya dalam perlawanan berikutnya.

“Komunikasi Jeeva dengan rakan tidak berapa baik ketika gol Perak.

“Ada sedikit salah faham untuk mengeluarkan bola dari kawasan penalti Selangor.

“Kini laluan kami jadi tidak begitu senang pada suku akhir kedua. Kami juga ada tujuh hingga lapan peluang tetapi cuma dapat tiga gol.

“Kini pasukan perlu kerja 200 peratus untuk melepasi Perak di Ipoh nanti.

“Mengenai Bunyamin (digantung perlawanan), kami masih ada Hardi Jaafar dan Fazilidin Khalid untuk menggantikannya,” kata Maniam.
Sumber-Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.