Dalam kemeriahan FFM24

FESTIVAL Filem Malaysia yang ke-24 (FFM24) bakal menyaksikan kemeriahannya tersendiri terutama daripada segi pencalonan filem cereka.

Sebanyak 41 filem cereka dihantar untuk bertanding pada pesta kali ini. Antaranya Hikayat Merong Mahawangsa, Karak, Karipap Karipap Cinta, Cun, Kongsi, Tolong Awekku Pontianak, Toyol Nakal, Senjakala, Penunggu Istana, Di Larang Masuk, Seru, Nur Kasih The Movie, Sumpahan Puasa, KL Gangster dan Khurafat.

Jumlah itu paling banyak dalam sejarah penganjuran FFM. Biasanya dalam setahun purata 25 filem cereka bertanding dalam FFM.

Kebanyakan penerbit yang menghantar pencalonan pada FFM24 pula tentunya terdiri daripada ahli-ahli Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM).

Cuma yang peliknya, senario itu berlaku selepas PFM mengambil keputusan menarik diri keluar daripada Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim) baru-baru ini. Seakan-akan ada yang tidak kena dengan perkembangan yang telah berlaku itu.

Bagaimanapun ‘politik’ yang terjadi antara para pimpinan PFM dan Presiden baru Gafim, Jurey Latiff Rosli nampaknya tidak mempengaruhi ahli-ahli PFM yang lain. Mereka terus memberi sokongan atas penganjuran FFM24 yang akan berlangsung dari 16 hingga 19 November ini.

Malam kemuncak anugerah itu pada 19 November ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) bakal menyaksikan persaingan 41 filem. Ia juga menunjukkan tahap kematangan Gafim dan ahli-ahli PFM dalam menangani isu tersebut.

Gafim juga nampaknya sanggup bersabar melayan kerenah calon-calon yang mahu bertanding. Contohnya, ada yang mahu bertanding tetapi tidak memenuhi syarat-syarat pertandingan.

Antaranya, setiap calon mestilah menjadi ahli mana-mana persatuan dalam Gafim sebelum layak bertanding. Sayangnya, ramai tidak mematuhi syarat itu. Kalau diikutkan memang ramai yang tidak layak bertanding dan banyak penyertaan yang terpaksa ditolak. Jika itu berlaku tentu akan mengurangkan kemeriahan FFM24.

Justeru, tahniah kepada urusetia festival kali ini yang sanggup bersusah payah memastikan setiap calon yang tidak menjadi ahli mana-mana persatuan dalam Gafim mematuhi syarat itu sehinggalah mereka layak bertanding.

Pada masa akan datang pihak penerbit sepatutnya lebih peka dengan memastikan setiap calon yang mereka calonkan dalam FFM mematuhi syarat yang ditetapkan.

Festival kali ini juga menambah tiga kategori baru iaitu Filem Cereka Bukan Bahasa Melayu, Pencapaian Sepanjang Hayat dan Pilihan Penonton Astro.

Dua kategori baru yang diperkenalkan itu ada logiknya. Tidak banyak pertikaian yang boleh ditimbulkan. Namun, bagi kategori Pilihan Penonton Astro itu, ia seharusnya diperhalusi pihak penganjur.

Kategori itu boleh menimbulkan tandatanya dan pertikaian banyak pihak. Ia tidak menggambarkan FFM24 sebagai sebuah pesta berprestij bersifat nasional.

Ia seolah-olah memberi kelebihan buat Astro sebagai penyiar rasmi yang banyak menghulurkan sumbangan.

Difahamkan Astro menyumbang untuk penganjuran festival itu sebanyak RM1 juta. Sebagai balasan ia mendapat hak siaran langsung. Selain itu, rasionalnya ialah tidak semua rakyat Malaysia menonton saluran Astro kerana ia berbayar.

Kita tidak mahu sesebuah stesen televisyen mengambil kesempatan penganjuran FFM kerana festival ini adalah dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Finas merupakan salah satu agensi kerajaan di bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK).

Ia berlainan dengan penganjuran anugerah lain, misalnya Anugerah Skrin yang dianjurkan oleh TV3 di mana ia boleh menjadi hak eksklusif untuk stesen televisten swasta tersebut.

Apa pun tahniah sekali lagi buat Gafim yang pertama kali diberi kepercayaan menganjurkan FFM24 sendirian. Kerja keras gabungan persatuan yang menaungi lebih 11 persatuan artis tanah air itu ternyata membuahkan hasil.

Senario itu menunjukkan kejayaan Gafim dalam menganjurkan FFM24 juga kerana sokongan ahli-ahli PFM dalam memeriahkan lagi festival itu.

Mereka sanggup mengetepikan segala pergolakan yang pernah berlaku dalam mesyuarat agung Gafim baru-baru ini. Ia demi memastikan FFM24 bukan sahaja berjalan lancar tetapi turut mencipta kemeriahannya yang tersendiri tahun ini.
Sumber-Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.