Dana serantau mampu penuhi keperluan pembiayaan – PM

KUALA LUMPUR 12 Okt – Cadangan penubuhan dana serantau oleh Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) dan Agensi Pelaburan Indonesia (IIA), mampu menampung kehendak pembiayaan syarikat berasaskan teknologi yang semakin meningkat di rantau ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Kos permulaan syarikat teknologi tinggi di Malaysia, seperti dalam ekonomi membangun yang lain, terutama teknologi baharu, mungkin tidak dapat dipenuhi kriteria peminjaman konvensional, katanya.

Selain itu, sistem penarafan pelaburan mungkin tidak melayakkan sokongan kewangan, sama ada menerusi pembiayaan konvensional atau perbadanan besar, katanya pada Simposium Modal Teroka Antarabangsa 2011 di sini hari ini.

Oleh itu, Najib berkata, kerajaan dan agensi pembiayaan dan modal teroka seperti MTDC, Malaysia Venture Capital Management Bhd dan Malaysia Debt Ventures Bhd, boleh memenuhi keperluan itu.

Beliau menggesa pihak pembiayaan dan modal teroka melabur dalam perniagaan sektor teknologi tinggi, namun tidak terhad kepada ICT, teknologi nano, sains hayat, tenaga boleh baharu serta minyak dan gas yang diperakui sebagai enjin pertumbuhan ekonomi.

Kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh MTDC dan IIA menyebut cadangan dana serantau itu merupakan dana khusus yang dikumpul oleh Malaysia dan Indonesia bagi menyokong dan menggalakkan keusahawaan, dan mewujudkan perniagaan strategik baharu dalam ekosistem teknologi. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.