Kebebasan ekonomi: Malaysia jatuh satu tangga ke-78

KUALA LUMPUR 12 Okt – Malaysia jatuh satu anak tangga ke kedudukan ke-78 bagi kebebasan ekonomi dalam Laporan Tahunan 2011: Kebebasan Ekonomi Dunia, sejajar dengan penurunan seluruh dunia dan disebabkan terutamanya saiz kerajaan.

Laporan oleh Institut bagi Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) itu dilancarkan di sini, hari ini, di Persidangan Asia Kebebasan Ekonomi 2011.

“Tahun lepas, kita berada di kedudukan ke-77 tetapi tahun ini kita jatuh satu tangga kepada 78. Sebenarnya, kedudukan Malaysia telah turun sejak beberapa tahun dan ini satu aliran yang membimbangkan,” kata Ketua Eksekutif Ideas, Wan Saiful Wan Jan dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, negara memperoleh skor sifar di bawah kategori kecil “Pelaburan dan Perusahaan Kerajaan”.

Ini, katanya, menunjukkan tahap pembabitan kerajaan dalam ekonomi menerusi syarikat pelaburan berkaitan kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), sangat membimbangkan.

“Sejak 1995, saiz kerajaan semakin meningkat,” katanya.

Laporan tahunan itu dikeluarkan oleh Fraser Institute, kumpulan pemikir dasar awam utama Kanada secara kerjasama dengan institut bebas di 85 negara dan wilayah. Rakan kongsi di Malaysia ialah Ideas. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.