Kita mampu kurang bajet defisit – Awang Adek

KUALA LUMPUR 11 Okt. – Kerajaan berkeyakinan dapat mengurangkan bajet defisit kepada 4.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun depan berbanding 5.4 peratus pada tahun ini.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin menyifatkan, bajet defisit merupakan pelaburan pembangunan jangka panjang.

Katanya, melalui pelaburan pembangunan yang digunakan itu, kerajaan akan mencipta keupayaan untuk menjana pendapatan yang lebih besar pada masa depan.

”Defisit kecil yang dialami di negara ini secara tidak langsung telah mencipta peluang dan ruang ekonomi baharu dan ia seperti sebuah pelaburan.

”Bagi mencapai matlamat itu, kerajaan telah melakukan pelbagai perancangan dan memikirkan langkah-langkah yang perlu,” katanya selepas menghadiri majlis perasmian Simposium Modal Teroka Antarabangsa Kuala Lumpur 2011 di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis ialah Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti, Tan Sri Zarinah Anwar, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC), Norhalim Yunus dan Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar), Kementerian Kewangan, Datuk Dr. Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Ketika ditanya sama ada kerajaan perlu memotong perbelanjaan untuk mengurangkan defisit, Awang Adek menambah, langkah-langkah yang diambil tidak berkait dengan usaha itu.

Katanya, ia tidak perlu kerana KDNK terbukti meningkat dan bukan menyusut.

”Defisit amat tidak berkaitan dengan pertumbuhan KDNK dan ia bukan sesuatu yang tidak terurus,” ujarnya.

Jelas Awang Adek, kerajaan terbukti dapat menguruskan bajet defisit dengan baik setelah melalui tiga episod krisis ekonomi iaitu pada 1984 hingga 1985, pada 1997 hingga 1998 dan terkini pada 2009.

Awang Adek turut memberikan tiga peraturan bagi menangani defisit iaitu pertama, defisit yang dialami perlu melibatkan perbelanjaan untuk pembangunan tetapi bukan operasi.

Kedua, tidak boleh menggunakan perolehan negara untuk perbelanjaan operasi dan ketiga, perlu ada had hutang yang munasabah.

”Di negara ini, kita telah mengehadkan kadar hutang negara keseluruhan tidak boleh melebihi 55 peratus daripada KDNK.

”Ia merupakan piawaian yang ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia selama ini bagi memastikan masalah defisit dapat ditangani dengan baik,” ujarnya.

Ditanya mengenai urus niaga pembelian 30 peratus saham Eastern & Oriental (E&O) oleh Sime Darby Bhd. (Sime Darby) pada harga RM776 juta, baru-baru ini, Awang Adek bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

”Tunggu lain masa kita bercakap mengenai isu berkenaan dan saya tidak boleh komen mengenainya buat masa ini,” katanya.
Sumber-Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.