Lima dekad sains angkasa

SUDAH lebih lima dekad berlalu sejak manusia pertama berjaya meninggalkan permukaan Bumi dan terbang ke angkasa, bagi mempelajari dengan lebih mendalam tentang rahsia alam semesta.

Usaha manusia menjelajah angkasa mula dilakar sejak tahun 1961 apabila Yuri Gagarin mengelilingi Bumi di dalam pesawat Vostok 1.

Pada tanggal 12 April tahun 2011, genaplah lima dekad manusia pertama kali menjadikan angkasa sebagai sempadan baru yang perlu diterokai dengan cara kehadiran manusia sendiri.

Sebelum tarikh bersejarah tersebut, manusia terlebih dahulu mencuba-cuba dengan menghantar serangga dan haiwan ke angkasa.

Hanya apabila keputusan yang dicapai menepati teori, barulah manusia berasa yakin untuk berada di dalam ruang tertutup berukuran lebih kurang dua meter, dan terapung-apung di udara mengelilingi Bumi.

Bertitik tolak dari tarikh tersebut, bermulalah era perlumbaan ke angkasa antara Rusia, ketika itu Kesatuan Republik Sosialis Soviet (USSR) dan Amerika Syarikat.

Kejayaan Rusia begitu menggusarkan Amerika sehinggakan pada 25 Mei tahun yang sama, Presiden John F. Kennedy membuat perisytiharan bahawa rakyatnya akan mendarat di Bulan sebelum berakhirnya dekad.

Hakikatnya, ucapan presiden Amerika Syarikat yang ke-35 ini benar-benar menjadi realiti apabila Neil Armstrong menjadi manusia pertama menjejakkan kaki di Bulan pada 20 Julai 1969, dengan Apollo 11.

Perlumbaan untuk ke angkasa menjadi semakin sengit antara Amerika dan Rusia.

Jika dilihat dari turutan kronologi, terdapat berbagai-bagai pencapaian yang membanggakan kedua-dua pihak.

Pencapaian bukan sahaja diukur dari sudut jantina, seperti wanita pertama ke angkasa (yang juga dipegang oleh Rusia dengan kejayaan Valentina Tereshkova), malah bilangan kru dalam sesuatu misi dan juga usia turut dilihat, selain tempoh paling lama berada di angkasa.

Minggu Angkasa Sedunia adalah sambutan peringkat antarabangsa dalam bidang sains dan teknologi.

Pada persidangan pada tahun 1999, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah mengisytiharkan bahawa 4 hingga 10 Oktober sebagai Minggu Angkasa Sedunia.

Tarikh 4 Oktober digunakan sebagai permulaan sambutan selaras dengan tarikh kejayaan manusia membuka tirai penerokaan angkasa dengan pelancaran Sputnik 1.

Tarikh 10 Oktober pula adalah bersamaan dengan tarikh tandatangan triti angkasa lepas.

Pada dasarnya kejayaan melancarkan Sputnik 1 yang bersaiz seperti sebiji bola pantai, sepadan dengan maksud namanya ‘Simplest Satellite’ pada 4 Oktober 1957, selepas era Peperangan Dunia Kedua ini seolah-olah memberi gambaran bahawa manusia lebih bijak bersaing.

Dua kuasa utama Amerika dan Rusia dilihat oleh dunia menumpukan kepada teknologi roket dalam penerokaan angkasa berbanding kepada pemusnahan di pihak musuh.

Sputnik yang direka dan dihasilkan oleh Rusia adalah satelit buatan manusia pertama yang berjaya mengelilingi Bumi.

Treaty on Principles Governing the Activities of States in the Exploration and Peaceful Uses of Outer Space, including the Moon and Other Celestial Bodies. memberi garis panduan kepada manusia dalam usaha-usaha yang dilakukan dalam penerokaan angkasa.

Secara dasarnya ia bertujuan mengekalkan keharmonian sejagat di samping memberi manfaat kepada semua pengguna angkasa sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Sambutan Minggu Angkasa Sedunia dipandu oleh UN Committee on the Peaceful Uses of Outer Space (UNCOUPUS), iaitu jawatankuasa memantau penggunaan angkasa lepas bagi tujuan keamanan dan Pejabat Hal Ehwal Angkasa Lepas (UNOOSA) di Vienna.

Pejabat ini telah diteraju oleh anak Malaysia, Prof. Datuk Dr Mazlan Othman sejak tahun 2007 lagi.

Usaha murni PBB ini disokong oleh Persatuan Minggu Angkasa Sedunia (WSWA) yang menjadi penyelaras global tanpa berpendapatan dan berpusat di Amerika.

Tema sambutan pada tahun 2011, 50 Tahun Penerokaan Angkasa oleh Manusia adalah ringkas dan jelas menggambarkan rasa bangga dunia atas kejayaan-kejayaan yang telah dicapai.

Selama 50 tahun lalu, hanya Amerika dan Rusia yang mempunyai keupayaan menembusi lingkung batas atmosfera.

Hari ini China telah pun mempunyai pesawat dan pelancar sendiri.

Menoleh kembali 50 tahun yang lalu, manusia telah menembusi atmosfera, menjejakkan kaki ke Bulan dan membina stesen angkasa bersaiz padang bola di angkasa.

Dua negara yang pada peringkat awalnya bermusuhan, telah bersatu dengan negara lain di dunia bagi merealisasikan Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) yang menyaksikan kerjasama antarabangsa yang hebat dalam bidang sains angkasa.

Sejak 2007, sejumlah 94 negara telah mengambil bahagian dalam sambutan ini di seluruh dunia dengan jumlah peristiwa terkumpul sebanyak 2,259 yang melibatkan peserta seramai 1,351,000 orang, ia meletakkannya sebagai aktiviti terbesar tahunan di dunia.

Di Malaysia, ia bermula dengan Program Angkasawan Negara (PAN) pada tahun 2006 yang mana kita telah berjaya menghantar seorang rakyat Malaysia ke Stesen Angkasa Antarabangsa menaiki pesawat Soyuz TMA-11 pada 10 Oktober 2007.

Kesinambungan dari itu, tarikh 10 Oktober juga diingat sebagai Sambutan Ulang Tahun Program Angkasawan Negara (SUPAN) oleh Agensi Angkasa Negara (ANGKASA)

ANGKASA tidak ketinggalan ingin memberi peluang kepada orang ramai untuk turut sama mengambil bahagian dalam program sambutan terbesar ini.

Bagi tujuan itu, program WSW@Planetarium Negara akan diadakan pada 15 dan 16 Oktober dengan pengisian aktiviti khusus untuk keluarga dan pelajar.

Antara aktiviti yang akan dijalankan adalah tayangan percuma Dawn of The Space Age, pertandingan menghias kek berkonsep angkasa, pertandingan melukis kapal angkasa Malaysia, melancar roket serta banyak lagi.

ANGKASA juga akan memberikan hadiah saguhati kepada mereka yang membawa kenderaan bernombor pendaftaran WSW atau MAS.

Bagi tahun ini juga, Heinlein Prize Trust melalui ANGKASA akan mengedarkan Kit Pengajaran Heinlein untuk guru-guru. Kepada sekolah yang berminat untuk mendapatkan kit pengajaran dan maklumat lanjut berkenaan program yang akan dijalankan, sila layari www.angkasa.gov.my atau hubungi 03-2273 4303.
Sumber-Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.