Thai tidak isytihar darurat

BANGKOK 11 Okt. – Kerajaan Thailand tidak akan mengisytiharkan perintah darurat, meskipun negara ‘Gajah Putih’ itu sedang berdepan banjir terburuk dalam tempoh dua dekad, kata Menteri Kehakiman, Jeneral Pol Pracha Promnok, hari ini.

Promnok, yang juga Pengarah Pusat Kawalan Banjir berkata, tiada keperluan untuk kerajaan berbuat demikian sebagaimana dicadangkan pembangkang kerana kerajaan boleh menguruskan keadaan itu.

”Kabinet membuat keputusan itu dalam mesyuarat mingguannya di Lapangan Terbang Don Mueang, di sini. Lapangan terbang tersebut bakal dijadikan Pusat Operasi Bantuan Banjir,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pelancongan dan Sukan, Chumpol Silpa-archa berkata, Kabinet memutuskan untuk tidak mengisytiharkan perintah darurat kerana tidak mahu menimbulkan suasana panik di kalangan pelancong asing.

Katanya, Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi mencatatkan ketibaan kira-kira 40,000 pelancong setiap hari pada masa ini meskipun banjir sedang melanda Thailand.

Ketua Pembangkang, Abhisit Vejjajiva sebelum ini mencadangkan satu perintah darurat diisytiharkan di beberapa kawasan banjir bagi memudahkan pengurusan banjir dan pemindahan.

Keadaan banjir di Thailand kekal kritikal memandangkan 40 peratus daripada negara ini masih ditenggelami air dengan 269 kematian dilaporkan, manakala bank pusat negara itu menganggarkan kerugian mencecah 60 bilion baht (RM6 bilion).

Sejumlah 2.3 juta orang daripada lebih 10,000 kampung di 30 wilayah di utara dan tengah terjejas teruk akibat banjir besar yang melanda secara berperingkat sejak Julai lepas, dan mencapai tahap kritikal baru-baru ini.

Dalam pada itu, negara jiran Kemboja, Laos dan Vietnam turut dilanda banjir.

Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan banjir sejak Ogos lalu meragut 18 nyawa termasuk 16 kanak-kanak di Vietnam, manakala banjir di Kemboja mengorbankan 183 orang.

Banjir turut mengorbankan 30 orang di Laos. — BERNAMA/dpa

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.