Sambil memanjat pokok kelapa, Mat Jenin impikan yang dia akan membeli telur ayam dengan hasil kelapa itu. Telur ayam itu akan menghasilkan ayam-ayam yang akan dibela dengan banyak. Ayam-ayam yang banyak itu akan dijual dan diganti dengan kambing. Apabila kambing sudah banyak, Mat Jenin akan gantikan dengan lembu.

Selepas itu Mat Jenin akan jadi kaya raya, mempunyai rumah-rumah besar dan beristeri dengan puteri raja.

Di dalam alunan imaginasinya, tiba-tiba Mat Jenin dapat gambaran dia sedang bergurau dengan isterinya.

Dalam berjenaka Mat Jenin ketawa besar dan terlepas tangannya yang sedang memeluk pokok kelapa yang tinggi itu.

Mat Jenin terjatuh dari puncak pokok kelapa. Mat Jenin meninggal dunia kerana cita-citanya yang terlalu tinggi. Itulah kisah Mat Jenin dahulu.

Di zaman ini, Mat Jenin bernasib baik kerana pokok kelapa yang dipanjatnya adalah pokok kelapa jenis matag, spesies kelapa rendah setinggi lapan kaki hasil teknologi terkini. Kelapa jenis baharu ini. Mat Jenin tidak mati.

Mat Jenin hidup untuk me­laksanakan impiannya, dan menjadi berjaya dan kaya raya.

Pengajaran:

Imaginasi atau impian adalah penting untuk berjaya apabila diiringi dengan tindakan.

Imaginasi + tindakan = kejayaan.

Untuk berjaya hebat kita perlu bercita-cita yang tinggi.

Orang Melayu perlu menjadi Mat Jenin Baharu yang bercita-cita tinggi berserta dengan tindakan untuk berjaya dan menjadi hebat.

Mengikut seorang kawan saya yang berjaya, orang Melayu adalah pandai dan rajin.

Untuk lebih berjaya Melayu perlu bercita-cita tinggi dan berani. Ikuti pula kisah Pak Kadok baharu.

Di negeri Cempaka Sari, di dalam sebuah kampung, ada seorang bernama Pak Kadok. Pak Kadok mempunyai seekor ayam sabung yang diberi nama Biring Si Kunari. Ayam sabung ini hebat dan tidak pernah kalah di gelanggang.

Pak Kadok adalah seorang yang pandai, bijak dan berani.

Keberanian Pak Kadok membuat dia menawarkan diri untuk bersabung dengan ayam sultan.

Pak Kadok sedia menggadai semua harta dan kampung halamannya sebagai pertaruhan.

Semasa pertaruhan, ayam Pak Kadok telah ditukar dengan ayam sultan. Walaupun ayam Pak Kadok menang tetapi dia dianggap kalah kerana ayamnya sudah ditukarkan menjadi ayam sultan.

Ini kisah Pak Kadok yang lama.

Dalam cerita Pak Kadok Baharu, ia agak berbeza.

Di dalam pertarungan, tidak ada pertukaran ayam dan tidak boleh berlaku penipuan kerana ayam Pak Kadok dima­sukkan dengan cip komputer dan dikawal oleh remote sen­sing (+ kamera video).

Biring Si Kunari, ayam Pak Kadok menang pertaruhan dan Pak Kadok mendapat hadiah yang lumayan.

Keberanian, Pak Kadok telah membawa hasil dan me­ngubah penghidupannya.

Pengajaran:

Pak Kadok Baharu bukannya seorang yang bodoh, betul bendul dan senang ditipu.

Bukan hanya cerdik, Pak Kadok juga adalah seorang yang berani mengambil risiko (tidak selesa dengan apa yang ada).

Untuk maju Melayu perlu berani.

DATUK SERI IDRIS JUSOH ialah bekas menteri Kabinet.