Wanita meluru ke kereta polis dikenalpasti, berkahwin dengan lelaki tempatan

KUALA LUMPUR: Wanita yang menerpa kenderaan polis trafik di lampu isyarat berhampiran Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Sri Damansara pagi Khamis dikenal pasti sebagai warga negara Vietnam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohd Zani Che Din berkata siasatan awal mendapati mangsa yang berusia 33 tahun itu telah berkahwin dengan lelaki tempatan, mempunyai seorang anak lelaki berusia empat tahun dan sedang hamil 14 minggu.

Pemeriksaan lanjut turut mendapati terdapat kecederaan iaitu kesan lebam baru dan lama di bahagian badan wanita berkenaan.

“Wanita itu tidak menjawab soalan pegawai penyiasat polis. Bantuan jurubahasa dari Kedutaan Vietnam di Kuala Lumpur akan diperolehi esok (Jumaat),” katanya dalam kenyataan di sini.

Terdahulu, dilaporkan empat anggota polis trafik yang sedang melakukan rondaan terkejut apabila seorang wanita secara tiba-tiba menerpa kenderaan yang mereka naiki untuk meminta tolong di lampu isyarat berhampiran Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Sri Damansara dekat sini pagi ini.

Dalam kejadian pukul 10.15 pagi itu, wanita berkenaan yang disyaki didera bertindak keluar dari sebuah teksi yang sedang berhenti di lampu isyarat berkenaan lalu berlari ke arah kenderaan polis trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya yang melalui arah sama.

Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan, katanya.- Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.