‘Ada Pemandu Uber, GrabCar Tamak’

KOTA BHARU: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mengambil tindakan ke atas 153 pemandu yang menawarkan khidmat Uber dan GrabCar sejak Oktober tahun lalu kerana didapati menipu pelanggan.

Pengurus Besar Kanan Bahagian Penguatkuasaan SPAD, Datuk Che Hasni Che Ahmad, berkata pihaknya kini dalam proses pendakwaan selepas didapati mereka mematikan aplikasi dan mengenakan caj tinggi kepada pelanggan.

Katanya, ada juga laporan pemandu membawa pelanggan menggunakan jalan lebih jauh bagi mengenakan caj tinggi.

“Tindakan segelintir pemandu tamak ini memberi imej negatif kepada mereka yang menawarkan khidmat Uber dan GrabCar secara jujur, sekali gus boleh mengurangkan kepercayaan masyarakat terhadap perkhidmatan itu.

“Kita menggalakkan penggunaan aplikasi tempahan secara dalam talian melalui aplikasi pintar atau mudah alih, sejajar perkembangan teknologi bagi memudahkan masyarakat.

“Peluang ini sepatutnya digunakan untuk menambah pendapatan bagi memberi perkhidmatan terbaik dan jujur,” katanya pada sidang media selepas menyertai Operasi Serkap di Terminal Bas Lembah Sireh di sini, malam tadi.

Sembilan pegawai SPAD terbabit dalam operasi dua hari bermula semalam itu bagi memastikan pemandu bas mematuhi peraturan, termasuk mengawal had kelajuan dan mengikut laluan operasi ditetapkan.

Che Hasni berkata, pemandu teksi turut diberi peluang menggunakan perkhidmatan e-hailing iaitu sistem tempahan perkhidmatan dalam talian bagi membolehkan mereka mencari rezeki dengan kemudahan yang ada.

“Kita ada menerima laporan berkaitan penyalahgunaan aplikasi di kawasan yang mempunyai persaingan tinggi seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA 2.

“Pemandu yang melakukan kesalahan ini boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 205 (1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010,” katanya.-BH.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.