Istana Selangor Nafi Keluar Surat Tawaran Darjah Kebesaran

PETALING JAYA: Dewan di-Raja Selangor mendedahkan pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang surat tawaran penganugerahan Darjah dan Bintang Kebesaran Negeri yang membawa gelaran ‘Datuk’ kepada Goh Boon Leong.

Setiausaha Dewan di-Raja Selangor, Hanafisah Jais berkata, pihaknya telah membuat laporan polis terhadap individu terbabit atas dakwaan pemalsuan surat berkenaan yang kononnya telah mendapat perkenan Sultan Selangor.

“Surat palsu berkenaan juga mengandungi fakta tidak benar termasuk menggunakan Jata Negeri Selangor yang salah, serta nama dan tandatangan Setiausaha Dewan di-Raja Selangor yang palsu,” jelasnya menerusi kenyataan pada Selasa.

Jelas Hanafisah, perbuatan ini adalah jenayah penipuan yang serius dengan tujuan untuk memperdaya orang ramai.

“Menjejaskan nama baik Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor serta institusi diraja Selangor.

“Orang ramai digesa untuk mendapatkan pengesahan terlebih dahulu daripada pihak berkuasa,” tambahnya.-MS.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.