Terengganu Kurang Bersedia Pertahan Kejuaraan Piala Emas Khir Johari

Gambar hiasan

KUALA TERENGGANU – Pasukan Terengganu mengakui kurang bersedia untuk mempertahan kejuaraan sepak takraw Piala Emas Khir Johari ke-50 di Pasir Gudang Johor pada 17 Jun ini.

Presiden Persatuan Sepaktakraw Negeri Terengganu (PSTNT) Mohd Shapian Ali berkata persiapan pasukan itu tahun ini tidak begitu terancang dan hanya mula berlatih pada 10 Jun.

“Berbanding persiapan semasa kami menjadi juara tahun 2012, kami berlatih selama enam minggu tanpa rehat,” katanya kepada Bernama.

Terengganu meraih gelaran pertama juara pada edisi ke-49 selepas menewaskan Selangor dalam aksi final di Dewan Majlis Perbandaran Manjung, Perak dua tahun lalu.

Namun, menurut Shapian apapun Terengganu akan cuba mengekalkan kejuaraan itu pada tahun ini, kerana komitmen pemain begitu tinggi dan penuh bersemangat.

Beliau berkata sebahagian besar pemain yang membawa Terengganu menjadi juara Piala Emas Khir Johari pada tahun 2012 masih berada dalam pasukan tahun ini.

Mereka termasuk Izurin Refin, Mohammad Shahmi Husin, Mohd Kamal Alfiza Shafie, Mohd Fadzli Mohd Roslan, Zulhafizazudin Rosslan, Mohd Subbha Mohd Latif dan Mohd Zulkfli Abdul Razak.

Shapian berkata pemain Terengganu, Mohd Hamikhairi Roslan yang tidak dapat beraksi kali ini kerana mengalami kecederaan, dilantik sebagai jurulatih pasukan.

“Hamikhairi dibantu oleh Vitaya Boonta jurulatih import Terengganu dari Thailand,” katanya.

Shapian berkata selain Piala Emas Khir Johari, Terengganu juga akan menyertai pertandingan antara regu yang turut diadakan pada masa yang sama.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.