Ketua Polis negeri, Datuk Aidi Ismail berkata, jumlah yang dicatatkan sejak Jumaat lalu itu menunjukkan peningkatan sebanyak 1,739 saman berban­ding 3,227 saman pada Op Selamat 11/2017.

Katanya, saman melibatkan pelbagai kesalahan dengan yang paling banyak adalah memandu melebihi had laju dan melanggar isyarat lalu-lintas.

“Dalam tempoh itu juga sebanyak tujuh kemalangan maut de­ngan lapan kematian direkodkan berbanding empat kemalangan maut dengan empat kematian dalam tempoh sama, tahun lalu.

“Ini menunjukkan peningkatan berganda jadi saya menasihatkan pengguna agar lebih berhati-hati, berhemah dan tidak gopoh ketika memandu ke destinasi masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Aidilfitri peringkat negeri yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat di Plaza Tol Gemuruh dekat sini, petang semalam.

Yang hadir sama, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri, Abdul Rahman Emang Anyie; Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Sharikan Bustaman serta Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) negeri, Left. Kol. Che Adam A. Rahman.

Menurut Aidi, daripada keseluruhan 143 kemalangan yang direkodkan sebanyak 52 kes membabitkan jalan Persekutuan manakala 43 kes di jalan bandaran di samping 28 kes di jalan negeri dan masing-masing 10 kes bagi lebuh raya serta lain-lain jalan.

Beliau berkata, sempena Op Selamat tahun ini, seramai 58 pegawai dan 362 anggota lain-lain pangkat ditugaskan dengan memberi fokus untuk menurunkan kadar kemalangan kepada lima peratu.

Katanya aliran trafik akan meningkat dengan ketara menyebabkan berlaku kesesakan di bandar Cukai di Kemaman manakala bagi daerah ini dan Kuala Nerus membabitkan Jalan Tengku Mizan, Jambatan Sultan Mahmud dan Plaza Tol Gemuruh; bandar Dungun (Dungun); pekan Jertih (Besut) ; persimpangan Batangan/jambatan Marang (Marang) serta di persimpangan Chalok, bandar Permaisuri dan Guntung di Setiu.

“Kita juga mengenal pasti tiga lokasi `black spot’ yang perlu diberi perhatian iaitu di Kilometer (KM) 3 di Jalan Kamaruddin menghubungkan Jalan Kuala Terenganu – Kuantan selain KM 32 Jalan Kuala Terengganu – Kuantan di Pulau Serai, Dungun dan KM 130 Jalan Jerangau/Jabor – Padang Kubu di Kemaman,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE