‘Bibik Kim Neo’ sudah tiada

PELAKON veteran yang popular dengan watak Bibik Kim Neo dalam sitkom Baba Nyonya di TV1, Datuk Kenny Chan meninggal dunia di sebuah hospital di Melaka, petang semalam.

Menurut laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris tempatan, kematian mendiang disahkan oleh isterinya, Datin Fern Loo.

“Mendiang dimasukkan ke hospital pada Isnin kerana mengalami jangkitan paru-paru,” kata Fern.

Chan yang meninggal dunia pada usia 68 tahun, meninggalkan tiga orang anak iaitu Darrick, Allen dan Shalyn.

Sebelum ini, seorang lagi pelakon yang memegang watak sahabat baik mendiang , Ah Cim dalam sitkom sama, Chee Hood Siong meninggal dunia pada 2011.

Baba Nyonya adalah sitkom komedi paling lama bersiaran di Malaysia dari tahun 1980-an sehingga tahun 2000 sebanyak 509 episod dan pernah dicatat dalam Buku Rekod Malaysia.

Kali terakhir Chan muncul sebagai watak Bibik Kim Neo adalah melalui filem Nasi Lemak 2.0 arahan pengarah kontroversi Namawee beberapa tahun lalu.- METRO

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.