Hamidin, Annuar Sah Rebut Jawatan Presiden FAM

Annuar (kiri) dan Hamidin. Foto Sinar Harian

MELAKA: Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin dan bekas Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa mengesahkan secara rasmi sebagai calon untuk merebut jawatan Presiden FAM.

Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, borang pencalonan Annuar yang diterima pagi Selasa sekali gus bakal menyaksikan pertandingan bagi jawatan yang dikosongkan oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

“Sudah pasti kini terdapat dua calon apabila Pengerusi Institut Sukan Negara, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi menarik diri dan menghantar surat penolakan menerima pencalonan.

“Bagaimanapun, kedua-dua calon ini masih mempunyai tempoh untuk menarik diri sehingga hari terakhir pengundian meskipun telah menghantar borang setuju untuk bertanding. Misalnya seperti yang berlaku tahun lepas apabila Tan Sri Annuar menarik diri pada saat akhir,” katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Terdahulu, Mohd Yusoff yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United meraikan pemain dan kakitangan pengurusan pasukan itu selain anak-anak yatim pada majlis berbuka puasa di Ayer Keroh di sini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Annuar bakal menghadapi cabaran sengit berdepan dengan Hamidin yang telahpun menerima 18 pencalonan daripada anggota gabungan badan induk itu, berbanding satu untuk Annuar.

Pada masa sama, Mohd Yusoff secara peribadi turut berharap agar tidak berlaku pertandingan bagi merebut jawatan nombor satu persatuan bola sepak itu lebih-lebih lagi negara baru sahaja menghadapi pilihan raya umum ke-14 baru-baru ini.

“Kita tengoklah sampai hari pertandingan nanti jika ada calon yang tarik diri, harapnya ada supaya tiada pemilihan. Saya kira majoriti penyokong atau peminat bola boleh melihat situasi ketika ini yang mana tidak sesuai untuk FAM adakan pertandingan.

“Saya rasa kalau ada calon yang berhasrat menarik diri, dialu-alukan,” katanya. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.