Wanita Saudi tak sabar nak menunggang

Riyadh: Wanita Arab Saudi membanjiri Institut Kemahiran Motosikal milik persendirian untuk belajar menunggang motosikal menjelang penarikan semula larangan memandu kepada golongan itu pada 24 Jun ini.

“Menunggang motosikal menjadi minat sejak kecil,” kata Noura, 31, yang enggan memberikan nama sebenar kerana bimbangkan reaksi umum.

Membenarkan wanita memandu yang dianggap penindasan terhadap golongan itu, adalah pembaharuan paling menyerlah oleh Putera Mahkota Mohammed bin Salman.

Namun ia dibayangi gelombang penahanan penyokong hak wanita, termasuk aktivis veteran yang sudah lama membantah larangan itu.

Tiada seorang pun wanita di litar pemanduan mahu bercakap mengenai penahanan kerana ia isu amat sensitif, sebaliknya memberi tumpuan kepada mendapat kebebasan asas yang sekian lama dinafikan.

“Saya membesar melihat anggota keluarga menunggang motosikal.

“Kini saya berharap memperoleh kemahiran mencukupi untuk menunggang di jalan raya,” kata Noura sambil menaiki Yahama Virago.

Di sebelahnya, Leen Tinawi, 19, berketurunan Jordan yang dilahirkan di Arab Saudi.

Bagi kedua-dua wanita, menunggang motosikal bukan sekadar minat, sebaliknya satu bentuk pemerkasaan.

“Saya boleh menyimpulkan seluruh pengalaman menunggang motosikal dalam satu perkataan, kebebasan,” kata Tinawi. AFP/METRO

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.