Aril ubah imej demi watak ‘anak ikan’

KUALA LUMPUR: Ditawarkan watak remaja berusia 19 tahun, Aril Pilus mengubah imej dengan mencukur janggut dan jambang yang disimpan sejak mula bergelar artis.

Dengan rambut disikat kemas ke tepi dan berwajah ‘bersih’, Aril nekad menghidupkan watak remaja pada usianya 33 tahun.

Semuanya dilakukan demi kehendak skrip dan kepercayaan pengarah bagi projek telefilem, Ishihara yang akan disiarkan RTM pada Aidiladha, kelak.

Bercerita kepada BH Online, bekas peserta musim ketujuh program realiti, Akademi Fantasia (AF) itu mengaku janggal melakonkan watak Ehsan dalam telefilem itu.

“Kali terakhir saya cukur janggut dan jambang adalah pada zaman bersekolah. Tak sangka saya akhirnya bercukur demi tuntutan watak.

“Memang pada mulanya, ada teman yang tertawa melihat perubahan wajah saya. Malah, ada yang menyindir mengapa saya sanggup lakukan semua ini hanya kerana mahu berlakon.

“Disebabkan ramai yang memberi komen seumpama itu, saya sampai tak mahu tengok wajah sendiri. Namun, selepas tiga hari berlakon di set, saya kena hadapi semuanya dan menjadi lali,” katanya.

Adik kepada penyanyi Allahyarham Izwan Pilus ini menambah, dia perlu berkorban meningkatkan kemampuan dirinya menguasai pelbagai watak.

“Lagipun karakter Ehsan saya lihat lain daripada kebiasaan… Sebab itu saya teruja melakonkannya,” katanya.

Aril atau nama sebenarnya, Khairil Azam Pilus mengaku watak Ehsan sangat mencabar.

“Saya kena serlah watak remaja berusia 19 tahun sedangkan saya sudah berumur 33 tahun. Skrip telefilem ini sangat bagus di mana saya menjadi watak pemuda buta warna tetapi memartabatkan seni tekat,” katanya.

Aril berkata, dia bangga dapat beraksi dengan pelakon hebat seperti Shaharudin Thamby dan Aleza Shadan dalam telefilem berkenaan.

“Sebenarnya, sudah lebih dua tahun saya tidak berlakon dengan watak yang terikat dengan banyak babak.

“Awal tahun ini, saya ada bawa watak pembantu dalam sebuah drama siaran TV3 berjudul Bila Tuhan Berbisik Cinta yang turut menampilkan penyanyi, Hazama,” katanya.

Aril turut bersyukur rezeki dirinya tidak pernah putus.

“Selain berlakon, saya masih menjadi pengacara televisyen (TV) untuk program CCTV Ria bersama Alif Farhan. Program itu sudah memasuki musim ketiga,” katanya. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.