Jangan terpedaya dengan pihak tidak bertanggungjawab – Pelombong Chile

SANTIAGO : Kesemua 12 kanak-kanak Thailand yang baru terlepas dari terperangkap selama 18 hari di dalam gua diminta supaya tidak terpedaya dengan janji manis pihak tidak bertanggungjawab.

Pesanan itu disampaikan sekumpulan pelombong arang batu Chile yang kisah mereka terperangkap dalam runtuhan lombong selama 69 hari dibawa ke layar perak dan dibintangi aktor handalan, Antonio Banderas.

Walaupun filem itu membuat kutipan kasar AS$25 juta (RM101 juta), kesemua pelombong yang terperangkap itu tidak menerima walau sesen pun hingga hari ini.

“Diharapkan semua kanak-kanak itu berjaya menghasilkan filem, siri televisyen atau novel terlaris berdasarkan kisah itu dan mengelakkan diri dari diperdaya pihak tidak bertanggungjawab serta mahu mengambil kesempatan ke atas mereka,” kata Mario Sepuldeva, antara pelombong arang batu yang wataknya dibawakan Antonio dalam filem bertajuk ‘The 33’ itu.

Kesemua pemain bola pasukan ‘Wild Boar’ berusia antara 11 hingga 16 tahun itu terperangkap bersama jurulatih mereka yang hanya berusia 25 tahun sedangkan kesemua 33 pelombong itu adalah lelaki dewasa ketika kejadian berkenaan berlalu lapan tahun lalu.

Sebahagian besar daripada mereka masih dilanda trauma akibat insiden di lombong San Jose di gurun Alacama itu.

“Perkara paling penting ialah pihak berkuasa dan keluarga harus melindungi kanak-kanak ini dari diperdaya pihak yang mahu mengambil kesempatan,” kata seorang lagi pelombong, Luis Urzua. – AFP /BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.