Lelaki cuba serang polis ditembak

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Suprintendan Nor Azmi Isa (kiri) menunjukkan gambar pisau dimiliki suspek yang cuba menyerang anggota polis di Jalan Panchang Bedena. – Foto ihsan PDRM

SUNGAI BESAR: Seorang lelaki cedera ditembak selepas cuba menyerang anggota polis di Jalan Panchang Bedena, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian pada jam 2.45 pagi itu, kelibat suspek berusia 37 tahun yang dalam senarai dikehendaki polis kerana kesalahan membabitkan kes ugutan jenayah, disedari di sekitar kawasan berkenaan.

Maklumat mengenainya kemudian disalurkan kepada sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam yang membuat rondaan cegah jenayah sebelum mereka bergegas ke lokasi.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Nor Azmi Isa, berkata suspek yang menyedari kehadiran anggota polis kemudiannya cuba melarikan diri.

Pisau yang digunakan suspek menyerang anggota polis di Jalan Panchang Bedena. – Foto ihsan PDRM

“Anggota polis mengejar suspek sejauh 500 meter sehingga ke tempat timbang kelapa sawit sebelum suspek mengeluarkan pisau sepanjang 25 sentimeter untuk menyerang anggota polis.

“Anggota polis melepaskan dua das tembakan ke udara sebagai amaran. Namun, tindakan agresif suspek yang dilihat terus menyerang menyebabkan anggota terpaksa melepaskan satu das tembakan ke arah suspek sebagai tindakan mempertahankan diri,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Nor Azmi berkata, tembakan itu mengakibatkan suspek cedera paha kanan sebelum diberkas polis.

Menurutnya, suspek dikehendaki polis atas kesalahan kes ugutan jenayah selain mempunyai lima rekod kes lampau iaitu tiga rekod kesalahan jenayah dan dua rekod kesalahan dadah.

“Suspek ditahan reman selama tujuh hari mulai hari ini (Jumaat) dan disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

“Jika sabit kesalahan, dia boleh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun,” katanya.

Nor Azmi berkata, suspek dibawa ke Hospital Teluk Intan (HTI) untuk mendapatkan rawatan lanjut.-BH.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.