PAS tak bertanding di Port Dickson

KUALA LUMPUR : PAS tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson bagi menentang Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perkara itu disahkan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man ketika dihubungi NSTP, sebentar tadi.

Keputusan PAS sekali gus mengesahkan parti Islam itu akan memberi laluan kepada UMNO meletakkan calon mereka bagi memperkukuhkan kerjasama PAS-UMNO yang terjalin sejak PRK Sungai Kandis.

“PAS tidak bertanding dan beri laluan kepada UMNO,” kata Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Semalam, PAS dilaporkan akan bermesyuarat terlebih dahulu sebelum memberi kata putus sama ada akan meletakkan calon PRK Parlimen Port Dickson.

Difahamkan, mesyuarat meletakkan calon pada PRK keempat selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) itu, hanya diputuskan kepemimpinan tertinggi PAS tanpa membabitkan UMNO.

Ada kemungkinan keputusan selanjutnya dibincangkan pada Muktamar Tahunan PAS Pusat di Terengganu yang akan bermula esok hingga 16 September ini.

Tengah hari semalam, PKR mengumumkan kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan bagi memberi laluan kepada Anwar bertanding dan menyempurnakan proses untuk dilantik semula menganggotai Ahli Dewan Rakyat, sebelum dilantik sebagai Perdana Menteri Kelapan.

Kerusi Parlimen Port Dickson sebelum ini disandang Datuk Danyal Balagopal Abdullah.

Bagaimanapun, Danyal menghantar surat peletakan jawatan kepada Speaker Dewan Rakyat, semalam.

Pada PRU lalu, Danyal memperoleh 36,225 undi dan menewaskan calon BN, V Mogan (18,515) dan calon PAS, Mahfuz Roslan (6,594).-BH.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.