Kementerian sentiasa bela kepentingan warga emas

KUALA LUMPUR 13 Okt. – Kerajaan sentiasa memperjuangkan kepentingan kira-kira 2.3 juta warga emas di negara ini untuk menjalani kehidupan sihat sejahtera, bermaruah dan mempunyai martabat diri yang tinggi serta menikmati semua peluang dengan anggota masyarakat.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, bukti keprihatinan ini dizahirkan melalui Belanjawan 2012 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

“Antara pengumuman yang menggembirakan golongan warga emas seperti peruntukan RM460 juta akan disalurkan kepada warga emas yang memerlukan melalui Bantuan Orang Tua (BOT) di bawah Program Kebajikan Rakyat 1Malaysia (KARISMA),” katanya di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Shahrizat menjawab soalan Datuk Seri Zulhasnan Rafique (BN-Setiawangsa) mengenai langkah kerajaan bagi meningkatkan kesedaran di kalangan generasi muda untuk memelihara tahap kesejahteraan ibu bapa dan warga emas.

Beliau berkata Dasar dan Pelan Tindakan Warga Emas Negara yang diluluskan kerajaan turut mempunyai strategi khusus untuk meningkatkan penglibatan dan kesepaduan antara generasi. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.