Malaysia akan minta penjelasan Indonesia

JAKARTA 12 Okt. – Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia akan mengemukakan nota diplomatik kepada kerajaan Indonesia berhubung aksi tunjuk perasaan anjuran Forum Betawi Rempug (FBR) sehingga menyebabkan berlaku kerosakan di pagar bangunan tersebut di Jalan Rasuna Said di sini hari ini.

Menurut Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Munshee Afdzaruddin Syed Hassan, kerajaan akan meminta penjelasan daripada pemerintah Indonesia bagaimana kekacauan sedemikian boleh tercetus.

“Pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta hampir setiap tahun berhadapan dengan kumpulan penunjuk perasaan sehingga berlaku pelbagai kerosakan pada aset negara.

“Justeru, nota diplomatik yang akan dikemukakan akan dikirim sebagai memohon penjelasan daripada pemerintah bagaimana mereka dapat membantu kita menyelesaikan isu ini,” kata Syed Munshee kepada wartawan Malaysia di sini hari ini.

Berdasarkan pernyataan yang dikeluarkan di bawah Konvensyen Vienna pihak berkuasa sesebuah negara harus melindungi harta benda setiap pejabat misi kedutaan asing.

Bagaimanapun, insiden terbaru yang tercetus di Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia memperlihatkan keadaan yang sebaliknya berlaku.

Demonstrasi yang dianjurkan oleh pertubuhan bukan kerajaan, Forum Betawi Rempug (FBR) di hadapan bangunan tersebut di Jalan Rasuna Said di sini mencetuskan ketegangan.

Perhimpunan yang berlangsung selama sejam setengah bermula pukul 1 tengah hari itu disertai oleh 650 penunjuk perasaan yang turut membaling objek keras seperti batu, kayu dan buluh.

Penunjuk perasaan itu berhimpun untuk menyatakan bantahan terhadap Malaysia yang kononnya didakwa mengambil tanah seluas lebih 1,000 hektar secara haram di Kalimantan

Barat. – Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.