Presiden FAS tidak setuju tuntutan adakan EGM untuk lantik semua exco baharu

SHAH ALAM: Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) Tengku Amir Shah tidak bersetuju dengan tuntutan ahli gabungan FAS supaya diadakan Kongres Luar Biasa (EGM) bagi melantik keseluruhan Exco yang baharu termasuk jawatan presiden.

Raja Muda Selangor bertitah, baginda terkejut apabila dimaklumkan terdapat memorandum berkenaan tuntutan itu pada 1 Okt lepas.

“Beta tidak memahami mengapa rombakan perlu dilakukan apabila kerja baharu sahaja dimulakan, lebih-lebih lagi apabila sebab yang diberikan (untuk adakan EGM) amat lemah.

“Kita dapat lihat perubahan yang kita sedang rancak lakukan termasuk menutup peluang melakukan ketirisan serta merombak jawatankuasa kecil yang tidak efektif dan menyoal perkara-perkara yang terdapat kesangsian telah membuat beberapa orang merasa tidak selesa. Kita hendak maju gerak ke hadapan, tetapi mereka seringkali menarik kita ke belakang semula.

“Akan tetapi beta tidak menyalahkan ahli gabungan kerana beta percaya mereka telah dimanipulasi, ditipu malah diugut oleh beberapa individu untuk menandatangani memorandum tersebut. Individu-individu ini adalah serigala berbulu domba, penuh dengan kepentingan diri sendiri dan bukannya hendak bekerjasama demi kemajuan FAS,” titah baginda dalam satu kenyataan di sini, Jumaat.

 

Menurut baginda, enam sebab yang diberikan ahli gabungan FAS untuk diadakan EGM adalah; mereka tidak berpuas hati apabila wakil ahli gabungan telah dibuang daripada menjadi ahli jawatankuasa dalam jawatankuasa tetap FAS, wakil ahli gabungan tidak dijemput apabila FAS menganjurkan bengkel pada Ogos lepas mengenai hala tuju FAS dan pelantikan dua naib presiden FAS didakwa melanggar Statut FAS.

Sebab lain yang diberikan adalah, ahli-ahli jawatankuasa eksekutif sekarang gagal memberi nasihat yang betul dan tepat kepada presiden FAS untuk mendukung perkara-perkara di dalam Statut FAS, dakwaan terdapat beberapa lantikan lain ke dalam FAS dengan meminggirkan ahli gabungan serta dakwaan setiausaha agung FAS menjanjikan status ahli gabungan kepada kelab baharu tanpa melalui proses sepatutnya.

Dalam jawapan baginda kepada sebab pertama, Tengku Amir Shah bertitah, kesemua pelantikan itu adalah berlandaskan Statut FAS serta tidak melanggar mana-mana peraturan atau syarat; sementara bagi sebab kedua, titah baginda, FAS telah memaklumkan kepada ahli gabungan bahawa fasa kedua bengkel itu akan diadakan bersama mereka secara khas dan bagi sebab ketiga, baginta bertitah pihak terbabit langsung tidak membuat kaji selidik serta menuding jari tanpa fakta.

Bagi sebab keempat pula, Tengku Amir Shah bertitah, tuduhan tersebut tidak mempunyai asas atau bukti, sementara bagi sebab kelima, baginda bertitah, baginda mencadangkan pelantikan tiga orang baharu untuk membantu dalam proses transformasi FAS di mana ia telah diterima sebulat suara semasa mesyuarat Exco, dan bagi sebab keenam, baginda bertitah ianya adalah tuduhan yang sangat serius serta tidak boleh diterima sama sekali oleh baginda.

Raja Muda Selangor bertitah, baginda juga berasa amat dukacita kerana baginda telah cuba menyelesaikan perkara ini di belakang tabir, namun sekarang dapat lihat secara jelas mereka tidak mahu berbuat demikian. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.