Syor 3 cukai baharu, semak 2 cukai sedia ada

KUALA LUMPUR: Kerajaan berupaya mempertimbangkan pelaksanaan tiga cukai baharu dan menyemak semula kadar dua cukai sedia ada bagi menampung penjanaan pendapatan negara yang ketika ini dikatakan dihimpit bebanan hutang menjangkau RM1 trilion.

Presiden Pertubuhan Himpunan Ustaz dan Pendakwah (MURSHID), Prof Dr Zaharuddin Abd Rahman, ketika mengemukakan cadangan itu menjelaskan Cukai Transaksi Asing (FTT) adalah antara yang wajar diperhalusi kerajaan kerana ia mampu mengimbangi spekulasi mata wang dan menstabilkan nilai ringgit, sekali gus menambah sumber pendapatan baharu.

Katanya, taktik pelaksanaan cukai bagi segala jenis perdagangan dan pertukaran mata wang tempatan serta asing itu pernah digunakan lebih 40 negara pada 2011 yang menyaksikan kutipan perolehan pendapatan sekitar AS$38 bilion (RM157.8 bilion).

“Kadar cukainya boleh dimulakan dengan kadar sederhana iaitu 0.5 peratus supaya tidak terlalu mengganggu urus niaga import eksport yang bukan bersifat spekulasi atau dikenakan hanya kepada pertukaran jangka pendek, dan bukan panjang kerana didasari jual beli komoditi sebenar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zaharuddin yang juga Pensyarah Kanan Kuliyyah Ekonomi dan Sains Pengurusan (KENMAS) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), berkata pertimbangan lain merangkumi pelaksanaan cukai pertukaran platform dagangan pasaran crypto dan aktiviti tawaran siling permulaan (ICO), bersandarkan kendalian sama ada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) atau Bank Negara Malaysia (BNM).

Beliau berkata, kerajaan boleh memberikan ‘lampu hijau’ kepada kemasukan industri crypto, namun ia harus dilakukan secara berperingkat dan terkawal, menerusi penetapan kawalan serta lesen kepada pedagang aset crypto yang menawarkan siling mereka di negara ini.

“Mereka harus melakukan pendaftaran dan mendapat kelulusan SC bagi mengekang kewujudan skim penipuan ICO, selain perlu membayar yuran lesen pendaftaran serta tahunan di samping cukai transaksi crypto.

“Ia berupaya menarik kemasukan pelabur asing bagi membuka pertukaran crypto seperti Bitfinex dan lain-lain.

“Kerajaan boleh mengizinkan dengan kadar lesen tahunan tertentu untuk hasil negara, selain yuran Cukai Keuntungan Modal (CGT) terhadap keuntungan perdagangan crypto yang tidak semestinya dalam kalangan rakyat Malaysia, malah pengguna dari seluruh negara,” katanya.

Zaharuddin yang juga penasihat syariah kewangan Islam tempatan dan antarabangsa mencadangkan supaya CGT dikenakan kepada keuntungan besar, transaksi besar keuntungan atau dengan penanda aras tinggi, contohnya mengenakan cukai dengan kadar munasabah kepada mana-mana rekod keuntungan melebihi RM500,000 pada waktu penjualan saja.

Berdasarkan kajian, katanya, 70 peratus daripada CGT akan hanya terkena kepada individu dan institusi yang meraih pendapatan tertinggi satu peratus dalam sesebuah negara jika cukai baharu berkenaan mula dilaksanakan kerajaan.

“Tentunya wujud kesan negatif susulan pengenalan CGT kerana apa yang baru dilaksana pasti wujud bantahan dan kesan negatifnya, namun tekad kerajaan untuk melangkah ke depan bagi memacu perubahan bakal menghasilkan situasi lebih stabil,” katanya.

Mengulas cadangan menyemak semula mekanisme dua cukai sedia ada, Zaharuddin berkata, ia membabitkan pertimbangan kerajaan untuk menaikkan kadar tertinggi cukai pendapatan daripada 26 peratus kepada 30 peratus atau lebih lagi bagi kumpulan berpendapatan sangat kaya, iaitu melebihi RM1 juta setahun.

Ketika ini, katanya, kerajaan mengehadkan kadar 26 peratus kepada semua individu berpendapatan RM100,000 ke atas, sedangkan ramai yang memperoleh pendapatan melebihi RM1 juta sepatutnya boleh dicukai pada kadar lebih tinggi tanpa dihimpit sebarang bebanan kerana mempunyai keutuhan kedudukan kewangan peribadi.

“Mereka mampu untuk ‘leverage’ (mengambil peluang) kemudahan pinjaman dan pembiayaan perbankan. Permohonan mereka pasti sangat mudah diluluskan, sekiranya ingin membuat belian aset mahal, justeru tidak akan terencat walau dicukai sehingga 30 peratus.

“Berdasarkan statistik, kumpulan tertinggi 10 peratus pendapatan ini yang menguasai lebih separuh kekayaan negara, maka sampai masa untuk mereka berkorban lebih daripada yang lain,” katanya.

Memperincikan cadangan terakhir, beliau berkata, kadar ‘Cukai Dosa’ atau ‘Sin Tax’ yang memberi laluan pelbagai jenis perniagaan termasuk memudaratkan kesihatan secara langsung seperti arak, rokok, shisha, judi dan lain-lain boleh dinaikkan supaya ia berupaya mengimbangi kadar ketagihan penggunanya, selain meningkatkan hasil kerajaan.

Bagaimanapun, katanya, pelaksanaan semua cukai baharu ini wajar dikaji semula atau dimansuhkan kembali apabila pendapatan negara dan hutang kembali pada tahap ‘sihat’ serta berdaya saing.

“Aspek ketirisan pelaksanaan semua hasil cukai perlu diperhalusi supaya tidak bocor ke tempat yang salah lagi dan menyebabkan penderitaan berpanjangan terhadap rakyat, manakala hasil wang awam bocor ke poket orang baharu secara salah,” katanya.-BH.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.