Polis Marin Patahkan Cubaan Bawa Keluar 21 Pendatang Tanpa Izin

JOHOR BAHARU, 14 Jun (Bernama) — Pasukan Polis Marin Wilayah 2 (PPMW2) mematahkan cubaan membawa keluar 21 pendatang tanpa izin, dipercayai warga Indonesia, di perairanan Kuala Sungai Muar, pada Jumaat.Komandernya ASP Paul Khiu Khon Chiang dalam satu kenyataan di sini hari ini, berkata turut ditahan dalam operasi 11 malam itu ialah dua lelaki warga Indonesia yang dipercayai tekong laut.

Bot peronda PPMW2 menerima maklumat awam mengenai kehadiran bot pancung yang mencurigakan di kawasan itu dan apabila menyedari kehadiran pihak berkuasa, bot pancung terbabit cuba meloloskan diri namun dapat dipintas oleh bot peronda PPM 10 minit kemudian.

“Pemeriksaan mendapati bot itu membawa 21 pendatang tanpa izin yang terdiri daripada 13 lelaki dewasa, tujuh wanita dewasa dan seorang kanak-kanak lelaki,” katanya.

Kesemua mereka kemudian dibawa ke Pangkalan Polis Marin Muar dan hasil siasatan mendapati mereka dalam perjalanan balik ke Indonesia semasa ditahan, katanya.

Kes disiasat menurut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 11959/63 pindaan 2002 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 kerana kesalahan penyeludupan migran.

Mereka yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Pusat Kawalan PPMW2 Tampoi di talian 07-2372222 atau 07-2372221.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.