Hanya Tiga Kes Tidak Puasa

KOTA BHARU: Hanya tiga kes tidak berpuasa dan makan di khalayak ramai direkodkan sepanjang operasi Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEIK), Ramadan ini.

Pengarahnya, Datuk Mohd Rahim Jusoh berkata, kes membabitkan tiga individu berusia 30 dan 50 tahun yang ditahan ketika makan di kedai bukan Islam di Kota Bharu, Pasir Puteh dan Kuala Krai.

Katanya, mereka ditahan ketika operasi itu yang dijalankan bersepadu bersama Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), polis dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

“Mereka ini dicekup ketika makan di khalayak ramai dan menjadikan kedai makan bukan Islam sebagai sasaran.

“Kini, kertas pendakwaan sudah diserahkan kepada pihak pendakwa untuk tindakan lanjut di Mahkamah Syariah mengikut Seksyen 26 Enakmen Kanun Jenayah Syariah,” katanya di sini, malam semalam.

Beliau berkata, jumlah kes begitu semakin berkurangan setiap tahun, hasil kesedaran masyarakat.

“Selain daripada kekerapan operasi dan rondaan dijalankan di sekitar negeri ini, penguatkuasaan pihak berkuasa tempatan yang melarang penjualan makanan sebelum jam 3 petang juga membantu mengurangkan kes ini.

“Pada masa sama, kita turut mendapat kerjasama daripada peniaga makanan bukan Islam yang melaporkan kepada JAHEIK sebarang kes tak puasa dan makan terbuka,” katanya.-BH.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.