Sepasukan penyelidik berjaya memindahkan ingatan dengan cara memindahkan maklumat genetik yang dikenali sebagai asid ribonukleik (RNA) daripada seekor siput kepada siput yang lain.

Siput tersebut telah dilatih un­tuk menghasilkan tindak balas pertahanan, lapor BBC.

Apabila RNA tersebut disuntik ke dalam siput yang tidak menjalani proses itu, mereka berkelakuan seolah-olah mereka juga telah dilatih.

Kajian tersebut yang diterbitkan dalam jurnal eNeuro mampu memberi petunjuk baharu dalam pencarian asas ingatan dari aspek fizikal.

RNA adalah satu molekul be­sar yang terlibat dengan pelba­gai peranan penting dalam or­ganisma biologi termasuk pengumpulan protein dan kaedah gen diekspresikan secara menyeluruh.

Penyelidik memberi renjatan elektrik sederhana pada ekor siput marin spesies Aplysia California.

Selepas beberapa renjatan elektrik diberikan, siput itu me­lakukan tindak balas pertahanan dengan menarik ekornya bagi melindungi diri daripada bahaya.

Apabila penyelidik kemudian melihat ke dalam badan siput tersebut, mereka mendapati si­put yang diberi renjatan elektrik menunjukkan penguncupan pertahanan selama kira-kira 50 saat sementara siput yang tidak menerima renjatan menguncup hanya kira-kira satu saat.

Siput yang menerima renjatan tersebut menjadi sensitif kepada rangsangan.

Kemudian, penyelidik meng­ekstrak RNA daripada sistem saraf siput yang menerima renjatan dan menyuntiknya ke da­lam sejumlah siput marin yang tidak disensitifkan dengan rangsangan.

Apa yang memeranjatkan, apabila menerima renjatan di bahagian ekor, siput yang tidak dirangsang menunjukkan pe­nguncupan pertahanan kira-kira selama 40 saat.

Kesan serupa dilihat apabila mereka melakukan perkara yang sama terhadap sel saraf deria yang dikaji di atas piring petri.

Menurut salah seorang penyelidik dari Universiti California, Los Angeles (UCLA), Prof. David Glanzman berkata, kesan yang terhasil seolah-olah kita telah memindahkan ingatan tersebut.

Menurut penyelidik, sel dan proses molekular dalam siput marin serupa seperti yang dimiliki manusia, meskipun siput mempunyai kira-kira 20,000 neuron dalam sistem saraf pusat mereka manakala manusia dikatakan mempunyai sebanyak kira-kira 100 bilion.

Mereka melihat keputusan ini sebagai langkah ke arah mengurangkan kesan penyakit seperti Alzheimer atau gangguan tekanan selepas trauma (PTSD).

Meskipun, Prof. Glanzman tidak pasti sama ada proses ini akan berjaya atau sebaliknya, tetapi dengan pemahaman meluas mengenai penyimpanan ingatan akan membawa kepada peluang lebih besar untuk meneroka pelbagai aspek berbeza.- UTUSAN ONLINE