Russia bimbang wanita tempatan ‘digoda’ penyokong luar

MOSCOW: Wanita Russia dinasihatkan mengelak daripada melakukan hubungan seks dengan lelaki asing bukan berkulit putih sepanjang kejohanan Piala Dunia kerana mereka boleh menjadi ibu tunggal kepada anak berdarah campuran.

Ketua Jawatankuasa Parlimen bagi Keluarga, Wanita dan Kanak-Kanak, Tamara Pletnyova semalam berkata, walaupun wanita Russia berkahwin dengan warga asing, hubungan itu tidak kekal lama.

“Wanita selalu terperangkap di luar negara atau di Russia dengan warga asing dan gagal mendapatkan semula anak mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan di stesen radio mengenai “Kanak-Kanak Olimpik” selepas Sukan Olimpik Moscow pada 1980 di mana pendedahan mengenai isu itu belum diketengahkan secara meluas.

Masalah itu berlaku ketika era Soviet di mana lahirnya kanak-kanak bukan berkulit putih di kejohanan besar hasil hubungan seks antara wanita Russia dan lelaki dari Afrika, Amerika Latin atau Asia.

Kebanyakan kanak-kanak ini berdepan isu diskriminasi.

“Kita harus menjaga anak yang dilahirkan. Kanak-kanak berdarah campuran ini menderita sejak era Soviet lagi,” kata Pletnyova kepada stesen radio Govorit Moskva.

Seorang lagi pengamal undang-undang berpendapat, penyokong luar boleh membawa virus kepada Piala Dunia dan memberi kesan kepda rakyat Russia.

Alexander Sherin berkata, rakyat Russia harus berhati-hati untuk melakukan hubungan dengan warga asing kerana mereka mungkin akan cuba menyebarkan bahan larangan di kejohanan itu.

Ribuan penyokong bola sepak daripada 31 negara berkunjung ke Russia bagi kempen Piala Dunia yang akan bermula hari ini antara pasukan tuan rumah dengan Arab Saudi. – REUTERS/BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.