Siap Sedia Op Selamat Di Sabah

PESURUHJAYA Polis Sabah, Datuk Ramli Din (tengah) melancarkan Op Selamat peringkat negeri di Kota Kinabalu, hari ini. – foto Edmund Samunting

KOTA KINABALU: Seramai 278 anggota polis ditugaskan dalam Op Selamat di 30 lokasi panas seluruh Sabah yang dikenal pasti sebagai kawasan kerap berlaku kemalangan setiap kali musim perayaan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din, berkata pihaknya mewujudkan pusat sehenti di lokasi panas berkenaan dan akan menempatkan anggota di situ bagi membolehkan orang awam membuat laporan kepada mereka.

Selain di pusat sehenti, katanya, anggota polis juga akan melakukan rondaan di kawasan terbabit untuk memastikan keselamatan orang awam.

“Selain keselamatan di darat, polis juga akan beri tumpuan ke atas keselamatan di perairan, termasuk pengendali bot pelancongan bagi memastikan mereka mematuhi peraturan,” katanya ketika melancarkan Op Selamat peringkat negeri di sini, hari ini.

Op Selamat ke-13 yang berlangsung 15 hari bermula 8 Jun lalu bertujuan mengurangkan kes kemalangan jalan raya dan memastikan kelancaran trafik serta keselamatan harta benda orang awam sempena sambutan Aidilfitri.

Ramli berkata, mereka yang meninggalkan rumah pada musim perayaan ini diingatkan untuk memaklumkan kepada polis dan jiran mereka, termasuk menghentikan penghantaran surat khabar sementara ke premis masing-masing.

“Tahun lalu, kira-kira 400 pemilik rumah memaklumkan kepada polis mengenai ketiadaan mereka di rumah dan tiada sebarang kes pecah masuk berlaku terhadap rumah mereka,” katanya.

Pada 22 dan 23 Jun ini, Op Lancar pula bakal dilaksanakan bagi memastikan kelancaran trafik bagi mereka yang pulang bercuti.

Dalam perkembangan lain, Ramli berkata, polis masih lagi cuba mengesan bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman bagi mendapatkan kenyataannya berkaitan laporan yang dibuat Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin terhadap dakwaan ugutan jenayah.

“Kita masih berusaha, namun berharap beliau akan datang dalam waktu terdekat. Lebih lama dia datang, kes akan tertangguh lebih lama.

“Sebagai pemimpin, beliau perlu tampil untuk bantu siasatan,” katanya.-BH.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.