47,418 Terima Bantuan Khas Kejatuhan Harga Getah

>> ISMAIL Sabri menunjukan isyarat bayaran RM500 oleh kerajaan kepada pekebun kecil getah di kementeriannya, di Putrajaya, Rabu. – Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) meluluskan kira-kira 84,754 pekebun kecil dan penoreh bagi menerima Bantuan Khas Kejatuhan Harga Getah 2016 (BKKH 2016), sehingga 5 Julai lalu.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata daripada jumlah berkenaan 47,418 sudah diberi bantuan khas itu manakala selebihnya masih dalam proses semakan bagi memastikan sama ada mereka memenuhi syarat ditetapkan.

“Permohonan bantuan khas ini diterima secara berperingkat sebelum diproses untuk tujuan bayaran. Proses semakan perlu dibuat bagi memastikan penerima benar-benar layak dan hanya menerima bantuan sekali sahaja.

“Justeru, dakwaan Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar (LATAS) Pas kononnya kerajaan gagal tunaikan janji membayar BKKH 2016 adalah tidak berasas kerana kita kini sedang giat melakukannya dan dijangka selesai September ini,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Pengerusi LATAS Pas, Muhammad Sanusi Md Nor, yang membuat dakwaan berkenaan baru-baru ini selain menyifatkan pengumuman pemberian bantuan khas itu hanya bersifat rasuah politik menjelang pilihan raya kecil (PRK) Kuala Kangsar dan Sungai Besar yang lalu.

Ismail menjelaskan, proses semakan menjadi sedikit perlahan kerana terdapat beberapa kekeliruan ditimbulkan penerima semasa memohon bantuan terbabit.

“Bantuan berkenaan hanya boleh diberi kepada pekebun kecil yang mempunyai tanah tidak lebih 2.5 hektar dan hanya seorang penerima bagi satu lot tanah manakala bagi penoreh pula, mereka harus mempunyai kad PAT-G yang dikeluarkan oleh Lembaga Getah Malaysia.

“Selain itu, bagi pemilik kebun yang tidak mengusahakan sendiri kebun miliknya, beliau tidak layak menerima bantuan ini kerana dianggap sebagai pengusaha, hanya pekerjanya sahaja yang layak menerima bantuan RM500 ini,” katanya.

Bagi mengelakkan kekeliruan itu terus berlaku, Ismail Sabri berkata, beliau sudah meminta RISDA menampal poster menerangkan syarat kelayakan di lokasi tumpuan seperti surau, masjid dan juga kedai kopi.

“Kita juga ada meminta pegawai RISDA untuk turun padang bagi mengajar penoreh dan pekebun kecil ini bagaimana untuk mengisi borang permohonan dengan betul.

“Selain itu, saya turut minta RISDA menghubungi semua ketua kampung dan meminta kerjasama mereka untuk menyebarkan berita ini kepada penduduk kampung berkenaan,” katanya. -BH.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.