Malaysia mahu gandakan harga air

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, mahu menaikkan harga air yang dijual kepada Singapura lebih 10 kali ganda ketika Malaysia sedang mencari untuk membayar hutang yang besar.

Dr Mahathir yang kembali berkuasa selepas pilihan raya umum pada Mei lalu memberitahu The Associated Press bahawa perjanjian air selama lebih berpuluh tahun itu perlu disemak semula untuk mencerminkan kenaikan kos sara hidup.

Perjanjian air sudah lama menjadi pertikaian antara Malaysia dan Singapura dan pada Jun lalu Dr Mahathir berkata dia mahu merundingkan semula perjanjian itu.

Malaysia kini menjual air mentah ke Singapura pada harga 3 sen setiap 1,000 seribu gelen dan membeli air terawat dengan harga 50 sen bagi jumlah yang sama.

Dr Mahathir berkata, sebagai perbandingan, Johor menjual air mentah ke Melaka pada kadar 30 sen setiap 1,000 gelen – kadar yang digambarkan sebagai ‘kebajikan’ memandangkan ia adalah perjanjian domestik.

Beliau menolak membincangkan maklumat khusus mengenai perkara berkenaan dan menyatakan rundingan masih diteruskan

“Kepada negara asing, kita perlu mendapatkan lebih daripada itu,” katanya.

Menteri Luar Singapura, Vivian Balakrishnan, berkata negaranya akan memenuhi perjanjian itu dan menjangka Malaysia melakukan perkara sama.

Mahathir juga terus meragui nilai projek kereta api berkelajuan tinggi yang menghubungkan Kuala Lumpur ke Singapura.

Beliau mengumumkan pembatalan projek itu pada Mei tetapi kemudian menimbang semula dan sedang berusaha merundingkan semula terma.

“Kami tidak mampu. Sekiranya harganya turun dengan kemampuan kami, maka mungkin kami akan meneruskannya,“ katanya.

Bagaimanapun, beliau menambah adalah lebih baik untuk memperbaiki laluan kereta api sedia ada untuk mengurangkan masa perjalanan.-BH.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.