Zahirah jadi gadis lasak

SHAH ALAM: Pelakon sensasi, Zahirah Macwilson, memilih filem bercorak aksi sebagai lakonan pertamanya di layar perak.

Teruja dengan peluang dihulurkan, artis berusia 23 tahun itu berkata, undangan membintangi filem terbabit menjelma selepas kira-kira tiga tahun dirinya aktif di dunia seni.

Zahirah bagaimanapun terpaksa melupakan seketika tawaran berlakon drama kerana mahu memberikan tumpuan kepada filem sulungnya itu.

“Penggambaran hanya akan bermula pada September depan dan buat masa ini, saya berehat dulu sementara menunggu masa untuk masuk ke lokasi.

“Memang ada tawaran berlakon drama yang diterima, terutama selepas Jangan Benci Cintaku, tetapi saya terpaksa menolaknya dulu.

“Memang menjadi prinsip saya untuk tidak terlalu tamak dalam berkarya, iaitu melakukan dua kerja sekali gus. Saya tidak mahu fokus hilang apabila berbuat begitu. Lagipun saya berasakan, kualiti adalah lebih penting daripada kuantiti,” katanya.

Ditemui pada majlis tayangan episod akhir drama rantaian, Jangan Benci Cintaku, bersama peminat di Puncak Alam, di sini, Zahirah begitupun belum mahu berkongsi lebih lanjut mengenai filem terbabit.

Ditanya apakah dia juga bakal mengikut jejak langkah beberapa pelakon popular lain yang mengehadkan pembabitan mereka dalam produksi drama bagi menjaga nilai eksklusif diri, aktres jelita ini memberi jaminan takkan berbuat begitu.

“Umur saya masih muda dan sayang rasanya kalau saya membataskan penampilan seperti itu. Selagi ada peluang, saya akan terima apa saja tawaran yang datang,” katanya.

Mengulas sambutan hebat diterima drama lakonannya bersama Saharul Ridzwan, Niena Baharun dan Izzue Islam itu, sehingga menjadi sohor kini di laman sosial, Zahirah berkata ia berlaku kerana paparannya sangat relevan dengan masyarakat hari ini.- BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.