Highland Towers diroboh bulan depan

PETALING JAYA: Highland Towers yang terbiar sejak 25 tahun lalu akan dirobohkan seawal bulan depan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, berkata proses merobohkan bangunan akan diuruskan oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

“Jawatankuasa Pembangunan Semula Highland Towers sudah dapat penyelesaian selepas berunding dengan pemaju dan Jabatan Insolvensi serta sudah dapat mengenal pasti semua pemilik.

“Mereka (jawatankuasa) sekarang di peringkat untuk mengemukakan cadangan pembangunan di kawasan itu selepas Highland Towers dirobohkan seawal-awalnya bulan depan.

“Kita berharap supaya pada Disember ini sudah ada perancangan untuk projek pembangunan semula Highland Towers,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika hadir menziarahi keluarga kanak-kanak perempuan tiga tahun yang maut akibat terjatuh dari tingkat 17, tiga di Blok A, PPR Kota Damansara, di sini, hari ini.

Zuraida berkata, pihaknya juga sedang mengkaji semula dasar berhubung projek yang terbengkalai.

Katanya, ada keperluan untuk meneliti semula prosedur terbabit bagi mempercepatkan dan memudahkan proses ambil alih seterusnya pembinaan semula.

Ogos lalu, Zuraida mencadangkan Highland Towers dibangunkan semula sebagai lokasi taman rekreasi.

Cadangan itu dibuat memandangkan struktur tanah di kawasan terbabit tidak sesuai untuk pembinaan perumahan.

Pada 11 Disember 1993, satu daripada tiga blok Kondominium Highland Towers di Taman Hillview, Ulu Klang runtuh dalam tragedi yang meragut nyawa 48 orang.-BH.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.