Polis tubuh pasukan khas pantau judi bola

KUALA LUMPUR: Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur akan memantau pergerakan individu dan premis perjudian yang berpotensi menjadi ‘bookie’ sempena Kejohanan Piala Dunia Russia 2018 yang bermula malam tadi.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, satu pasukan khas ditubuhkan bagi memantau kegiatan terbabit.

“Setakat ini belum ada sebarang maklumat mengenai kegiatan perjudian bola dan saya ingin menegaskan, sesiapa yang terbabit dalam kegiatan pertaruhan sama ada menerima atau membuat pertaruhan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya.

Semalam, Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Rosli Ab Rahman, berkata Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang turut memantau pergerakan individu dan premis perjudian yang berpotensi menjadi bookie sempena kejohanan Piala Dunia Russia 2018, termasuk pertaruhan yang di buat dalam talian.

Rabu lalu, Polis Sarawak berjaya menghidu tindakan bookie yang menawarkan pertaruhan bagi kejohanan Piala Dunia Russia 2018 di Sibu dan menahan seorang lelaki berusia 62 tahun yang menjadi ejen kutipan pertaruhan judi bola sepak.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Senior Asisten Komisioner Denis Leong Soon Kuai berkata, dalam serbuan di sebuah rumah di Rejang Park itu, pihaknya turut merampas wang tunai RM545 bersama beberapa kepingan kertas yang digunakan suspek bagi kaki judi membuat pertaruhan.-BH.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.