Briged Sukarela PLKN ditubuh

KUALA LUMPUR 14 Okt. – Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penubuhan Briged Sukarela Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang akan digerakkan bagi membantu mangsa kejadian bencana dalam negara pada masa depan.

Perdana Menteri berkata, briged itu akan dianggotai oleh alumni PLKN dan berpangkalan di lebih 80 kem latihan program itu di seluruh negara.

“Mereka akan membantu dalam sebarang malapetaka seperti banjir, tanah runtuh, kebakaran dan puting beliung.

“Sekretariat Alumni PLKN yang ada sekarang ini akan turut menjadi sekretariat Briged Sukarela PLKN,” katanya ketika berucap melancarkan Program Kami Anak 1Malaysia di Stadium Hoki Bukit Jalil, di sini, malam ini.

Program Kami Anak 1Malaysia berkenaan menumpukan kepada aktiviti sosial di kalangan bekas pelatih PLKN bagi memastikan hubungan di antara mereka berterusan selepas berpisah apabila tamat latihan selama tiga bulan.

Kira-kira 15,000 pelatih serta bekas pelatih PLKN hadir pada majlis tersebut yang turut menampilkan pelbagai persembahan oleh kira-kira 1,500 pelatih PLKN.

Sementara itu, Najib mengingatkan semua pelatih dan lebih 5,000 alumni PLKN di seluruh negara supaya tidak melupakan agenda pembinaan negara bangsa demi kesejahteraan Malaysia pada masa depan.

“Ujian sebenar bukanlah sewaktu latihan tiga bulan tersebut tetapi keberkesanannya ialah dalam 30 tahun akan datang dan negara bergantung kepada produk (pelatih) PLKN,” ujarnya.
Sumber-Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.