Farah AF2 menangis di Chiang Mai

MELAKUKAN penggambaran program berepisod amat memenatkan, namun itu semua bukan masalah kepada Farah Diana Anuar, 26, atau Farah AF2 untuk memikul tanggungjawab.

Baru-baru ini S3 berkesempatan menjengah ke Chiang Mai, Thailand, atas jemputan pihak Astro Oasis untuk melihat Farah melakukan tugasan di sana.

Farah yang sebelum ini berada di Laos, hanya menjamah roti dan buah-buahan sebagai pengisi perut sebelum memulakan penggambaran.

Tugasan Farah pada hari pertama di Chiang Mai adalah melawat Maesa Elephant Camp dan rombongan bertolak pada pukul 8 pagi menuju ke destinasi.

Sewaktu di kawasan pelancongan itu, Farah turut bertanding memecah belon bersama salah seekor gajah yang terlatih.

Suasana ceria bertukar sayu, apabila kumpulan kami berpeluang melihat gajah bernama Thongsa menulis perkataan Rasa Halal Thailand (RHT) secara dekat sambil Farah melakukan tugasannya.

“Farah amat terharu tengok gajah itu menulis dengan cantik, walaupun ia hanya belajar selama dua minggu untuk menulis perkataan itu. Kalau Farah yang berada dalam kedudukan gajah itu, tak tahulah nak gambarkan.

“Telinganya ditarik oleh si penjaga ke atas, bawah, kiri dan kanan untuk membentuk huruf. Mesti sakit, cuma gajah itu tidak boleh bercakap sahaja. Cukuplah kalau kita pandang matanya yang sayu itu, mesti sebak,” kata Farah yang berjiwa sensitif itu.

Selain melihat kebolehan gajah melukis, krew RHT juga melihat pertunjukan ular dan monyet di kawasan berhampiran.

Farah walaupun nampak lembut, namun bukan jenis penakut. Sewaktu menonton pertunjukan ular, ramai yang duduk jauh namun Farah sengaja duduk di hadapan.

Dalam kumpulan itu, hanya Farah yang berani memegang dan bergambar bersama ular dan begitu juga sewaktu menonton pertunjukan monyet dan pada hari itu juga krew RHT melakukan penggambaran di kilang lakuer (pengilat), jed serta kulit.

Kata Farah, dia tidak perlu melakukan penggambaran di setiap lokasi yang disinggah kerana dalam program selama setengah jam itu juga ada penerangan menyeluruh.

“Kalau tidak buat rakaman di lokasi, info akan diberikan secara voice over. Cara ini mudah sikit sebab penonton hanya mendengar suara Farah yang membaca skrip. Kalau rakaman langsung Farah kena hafal dan ingat info yang hendak dikatakan,” jelasnya terperinci.

Sebelum krew menamatkan tugasan pada hari itu, mereka melakukan penggambaran di Bazar Malam Chiang Mai yang merupakan tumpuan pelancong dari seluruh pelosok dunia.

Menurut Farah, walaupun berada di Laos atau Chiang Mai yang menawarkan harga lebih murah berbanding di Malaysia, namun dia tidak berkesempatan membeli-belah.

“Ingat Farah tak rambang mata ke nak membeli barang-barang itu semua. Dahlah murah, cantik-cantik pula. Masalahnya, tak sempat sebab sibuk penggambaran.

“Farah kalau membeli mesti nak membelek. Kalau asyik nak membeli, sah-sah tidak selesai penggambaran nanti. Lagipun pakaian yang Farah pakai untuk program ini ditaja oleh Ariani dan Adidas,” katanya yang bersolek sendiri.

Seterusnya pada hari kedua Farah di Chiang Mai, penggambaran dilakukan di hadapan stesen kereta api Chiang Mai sebelum berangkat ke masjid berhampiran.

“Di sini bukan lelaki sahaja sembahyang Jumaat tapi orang perempuan juga. Walaupun orang Islam golongan minoriti di sini tetapi mereka bersatu.

“Mereka sering mengadakan aktiviti pada setiap hari Jumaat dan sepanjang bulan puasa, ramai yang memilih berbuka puasa di masjid. Itu yang Farah dapat tahu apabila berbual dengan salah seorang ahli jawatankuasa masjid tadi,” ceritanya.

Sebaik sahaja selesai tugasan di situ, Farah melahirkan rasa syukur kerana tanggungjawabnya di lokasi tamat.
Sumber-Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.