Intervensi kerajaan penuhi impian rakyat miliki rumah

PUTRAJAYA 15 Okt. – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, campur tangan kerajaan melalui program khusus telah membantu lebih ramai rakyat Malaysia memiliki rumah berkualiti.

Beliau berkata, kerajaan melalui program khusus seperti program Perumahan Rakyat 1Malaysia (Pr1ma) ntuk membangunkan perumahan mampu milik bagi memenuhi keperluan golongan berpendapatan sederhana.

“Memiliki rumah sendiri adalah satu impian dan cita-cita rakyat yang diambil berat oleh kerajaan. Ini adalah kerana memiliki rumah sendiri akan menyemai perasaan memiliki.

“Kalau tiada campur tangan dan intervensi kerajaan melalui program khusus, maka ramai tidak mampu memiliki rumah yang berkualiti dan berdekatan dengan tempat kerja,” katanya pada Majlis Cabutan Undi Terbuka untuk 560 unit rumah mampu milik pertama yang dikendalikan Unit Pr1ma di sini, hari ini.

Najib berkata, rumah dan tempat kerja yang berdekatan akan meningkatkan produktiviti kerja.

Beliau berkata, penghijrahan penduduk dari luar bandar ke bandar telah menimbulkan implikasi yang perlu ditangani kerajaan bagi mengelak pelbagai tekanan sosioekonomi.

“Apabila berlaku keadaan ini, mereka terpaksa tinggal di kawasan berjauhan dari tempat kerja yang akan menimbulkan pelbagai kesukaran, termasuk pertambahan kos pengangkutan.

“Selain mengisi impian dan cita-cita rakyat untuk memiliki rumah, rumah dan tempat kerja yang berdekatan dapat meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kos perbelanjaan harian rakyat,” katanya. — Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.