Juara bertahan tersingkir

KUALA LUMPUR – Penyandang juara Piala Malaysia, Kelantan tersingkir apabila sekadar seri 2-2 (agregat 3-5) kepada Terengganu pada perlawanan suku akhir kedua, manakala Selangor mara bergaya selepas membenam Perak 1-0 (agregat 4-1) di Stadium Perak.

Turut mara ke separuh akhir ialah T-Team yang mengalahkan Sabah 2-1 (agregat 4-2) dan Negeri Sembilan yang menewaskan Felda United 3-0 selepas masa tambahan (agregat 3-1).

Di Stadium Sultan Muhammed IV, Terengganu garang di suku akhir kedua selepas mendahului lawan 2-0 pada babak pertama hasil dua gol yang disumbangkan oleh Mohd. Ashaari Shamsuddin pada minit ke-18 dan ke-39.

Sokongan padu dari lebih 30,000 penyokong setia Red Warriors gagal membantu skuad bimbingan Datuk M. Karathu untuk bangkit pada saingan separuh akhir kedua dan mereka hanya memperoleh gol pada separuh masa kedua melalui Azamuddin Md. Akil pada minit ke-54 dan sepakan penalti ketua pasukan, Badri Radzi minit ke-70.

Selangor terus menyalakan misi untuk merangkul Piala Malaysia ke-33 apabila menang ke atas Perak 1-0 hasil jaringan Rudie Ramli pada minit ke-49 dan ditambah dengan kelebihan perlawanan suku akhir pertama apabila mereka mencatat kemenangan 3-1 di Stadium Shah Alam.

Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, T-Team berjaya mencatat sejarah tersendiri apabila mara ke peringkat separuh akhir buat kali pertama apabila berjaya mencatat kemenangan 2-1 ke atas Sabah hasil jaringan Md. Fitri Omar minit ke-30 dan Zairo Anuar Zailani minit ke-63.

Sabah cuba bangkit pada saat-saat akhir perlawanan melalui jaringan saguhati Mafry Balang pada minit ke-86 bagaimanapun ia sudah terlambat dan T-Team berjaya mengikut pasukan abang, Terengganu untuk mara ke separuh akhir.
Sumber-Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.