Pencalonan Aziz Bari Muslihat DAP Intai Jawatan MB

IPOH: Langkah DAP meletakkan pakar perlembagaan Prof Dr Abdul Aziz Bari sebagai calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak dilihat sebagai memperjelaskan keinginan parti itu mengintai jawatan Menteri Besar.

Walaupun Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang menafikan dakwaan itu, tindakan itu dilihat seolah-olah membelakangkan persetujuan yang dikatakan sudah dipersetujui dalam kalangan pakatan pembangkang supaya DAP tidak meletakkan calon Melayu di DUN Perak.

Felo Penyelidik Institut Kajian Analisis Politik Malaysia (MAPAN), Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Achmad Dzariean Mohd Nadzri, berkata melihat sejarah penubuhan kerajaan pakatan di Perak pada 2008, tindakan DAP meletakkan calon Melayu di DUN Perak tidak dapat disangkal lagi adalah sebahagian usaha parti itu meraih jawatan Menteri Besar jika pakatan menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Kerusi DAP paling banyak berbanding parti lain iaitu 18 kerusi dan semuanya kerusi boleh menang. Dengan adanya calon Melayu, wakil DAP tidak akan terlepas lagi peluang dilantik sebagai Menteri Besar berikutan Undang-undang Tubuh negeri yang mensyaratkan calon (MB) mestilah Melayu dan beragama Islam,” katanya ketika dihubungi NSTP di sini, semalam.

Abdul Aziz menyertai DAP sejak 2015, pernah bertanding di kerusi Parlimen Sabak Bernam atas tiket PKR pada PRU-13 tetapi tewas kepada BN. Kali ini, Abdul Aziz dikatakan akan diletakkan di DUN Tebing Tinggi dalam kawasan Parlimen Ipoh Timur.

Mengulas lanjut, Achmad Dzariean berkata, tindakan DAP mengumumkan calon bukan melalui pimpinan DAP Pusat sebaliknya oleh penyandang kerusi itu, Ong Boon Piow, juga dilihat akan `makan diri’ kerana ia pasti akan memberikan kesan dan menjejaskan kesepakatan serta peluang pembangkang di Perak.

Katanya, perkara itu jelas kerana sebaik pengumuman oleh Boon Piow itu mendapat liputan meluas media, Kor Ming terus membuat penafian begitu juga Kit Siang, malah Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke turut memaklumkan bahawa Boon Piow sudah melanggar disiplin parti dan akan dirujuk ke Jawatankuasa Tatatertib parti.

Difahamkan sebelum ini yang disebut-sebut sebagai calon Menteri Besar jika pembangkang menang adalah daripada parti berteraskan Melayu iaitu sama ada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mahupun Parti Amanah Negara (PAN) atau mungkin PKR.

Jumaat lalu, pada siri ceramah pakatan pembangkang yang berlangsung di Station 18 di sini, Boon Piow mengumumkan sendiri Abdul Aziz adalah penggantinya untuk bertanding di kerusi berkenaan dan juga calon Menteri Besar.

Berikutan itu, Kor Ming pada keesokannya mengeluarkan kenyataan menafikan perkara itu dan menegaskan DAP Perak tidak berniat sama sekali merebut kerusi Menteri Besar dan menyerahkan sepenuhnya kepada keputusan Majlis Presiden Pakatan Harapan.

Beliau dipetik sebagai berkata, DAP Perak hanya ingin menumpukan fokus untuk menang dan membantu rakan pembangkang untuk menang di semua 24 kerusi Parlimen dan 59 kerusi DUN di Perak dan mendakwa laporan media mengenai pengumuman Abdul Aziz sebagai calon di DUN Tebing Tinggi oleh Boon Piow adalah tidak benar kerana sebarang pengumuman rasmi calon PRU-14 hanya akan dan boleh dibuat oleh Lim Guan Eng.

Kit Siang pada sidang medianya di Batu Pahat hari ini seperti disiarkan sebuah portal berita dilaporkan berkata Abdul Aziz akan menjadi calon DAP bagi kerusi DUN di Perak, tetapi DAP tidak akan menuntut jawatan Menteri Besar.-BH.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.