Pesta Wau sawah padi

Parit Buntar: Puluhan jenis wau dan layang-layang dimainkan pada Pesta Wau yang julung kali diadakan di Kampung Parit Mat Ali, Kuala Kurau di sini.

Ia turut menarik ramai penyertaan penduduk setempat dan luar.

Lebih menarik dan unik, Pesta Wau ini diadakan di sawah padi yang baru selesai musim menuai dan disertai tiga kelab layang-layang profesional iaitu Norman Team (Johor), Kelab Pelayang Pasir Gudang (Johor) dan AHBY Kite (Kedah).

Penduduk setempat kebanyakannya melayangkan wau atau layang-layang berciri tradisional, manakala tiga kelab profesional berkenaan pula mempamerkan lebih 12 layang-layang gergasi yang kebiasaannya digunakan dalam pertandingan dan pertunjukan layang-layang antarabangsa.

Pesta Wau anjuran Kurau Inn Farmstay diadakan dua hari bermula semalam.

Penganjur, Rabain Hassan berkata, pihaknya gembira apabila program itu mendapat sambutan menggalakkan terutama daripada penduduk setempat yang hadir memeriahkan pesta berkenaan.

PENDUDUK bermain layang-layang pada Pesta Wau yang diadakan di Kampung Parit Mat Ali,Kuala Kurau. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

“Kami akan berbincang dengan pihak berkaitan untuk mengadakan Pesta Wau Peringkat Kebangsaan di sini, pada musim padi akan datang.

“Pesta itu kelak akan turut disertai pelayang-pelayang dari luar negara,” katanya ditemui, semalam.

Sementara itu, pengasas kelab Norman Team, Norman Abd Hamid berkata, kawasan sawah padi yang luas dan berhampiran laut memang sesuai untuk penganjuran program berkenaan.

“Faktor geografi di sini yang mempunyai sawah padi luas serta angin kuat kerana berhampiran pantai sangat sesuai untuk penganjuran pesta atau pertandingan layang-layang peringkat kebangsaan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.